FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019: Malaysia Perlu Bangkit Menentang Wales

By April 29, 2019 May 2nd, 2019 Newsroom

BUKIT JALIL (29 April 2019): Pasukan hoki negara dikejutkan dengan kekalahan 4-2 kepada Itali dalam aksi terakhir kumpulan B Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini.

Walau bagaimanapun, satu kemenangan ke atas Brazil, seri dengan China dan kekalahan kepada Itali meletakkan pasukan negara di kedudukan kedua kumpulan. Mereka akan bermain dalam “cross over” bertemu dengan Wales.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans berkata, “Pemain menunjukkan persembahan di bawah tahap sebenar malam ini, jauh daripada prestasi sebenar mereka.”

“Apapun, kami masih berpeluang untuk menebus kekecewaan dengan bertemu Wales. Tiada siapa sangka, Itali menguasai peringkat kumpulan, inilah kenyataan. Jadi saya harap kami akan berada di sini dengan skrip berbeza bertemu Wales Rabu ini,”kata Roelant.

Pemain Itali, Juan Ortega cuba untuk menyekat pergerakan kapten negara, Muhammad Marhan Jalil yang mengawal bola pada aksi terakhir peringkat kumpulan, hari ini.

Malaysia hampir berada di depan seawal minit keempat menerusi percubaan yang dilakukan Mohamad Sukri Mutalib selepas mendapat hantaran cantik Faizal Saari namun berjaya ditepis penjaga gol Itali.

Pada minit kesembilan, Itali mengejutkan pasukan negara dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan kencang oleh Thomas Keenan untuk mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysian Tigers terus melancarkan beberapa serangan ke arah kubu Itali dan usaha mereka berhasil apabila Faizal Saari meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Bermula separuh masa kedua, Itali sekali lagi di depan apabila Agustin Nunez menolak masuk gol padang setelah menerima hantaran jauh daripada rakan sepasukan untuk keputusan berubah menjadi 2-1 pada minit ke-31.

Empat minit kemudian, pemain negara yang tidak berputus asa untuk bangkit berjaya menyamakan kedudukan menjadi 2-2 menerusi Razie Rahim yang berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti.

Aksi penjaga gol Itali, Francesco Padovani yang juga merupakan pemain terbaik perlawanan hari ini ketika cuba untuk menyelamatkan percubaan penyerang negara Norsyafiq Sumantri (kiri) dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (kanan) pada aksi terakhir peringkat kumpulan hari ini yang menyaksikan skuad negara tewas 2-4.

Namun mereka menerima tamparan apabila Itali kembali mendahului menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-43 hasil jaringan Agustin Nunez sebelum Iawan menambah satu lagi jaringan menjadi 4-2 selang dua minit kemudian melalui gol padang dari sebelah kanan gawang gol oleh Francois Sior.

Dalam satu lagi perlawanan terakhir kumpulan B, China bangkit meraih kemenangan 3-2 mengatasi Brazil untuk berada di kedudukan ketiga kumpulan.

Sementara aksi terakhir kumpulan A yang tamat lebih awal petang tadi menyaksikan Kanada menang 6-2 ke atas Belarus manakala Austria menumpaskan Wales 2-0. Keputusan itu melayakkan Austria secara automatik ke separuh akhir selaku juara kumpulan bersama-sama Itali.

Pasukan di tangga kedua dan ketiga tiap-tiap kumpulan masih berpeluang untuk merebut tempat ke separuh akhir menerusi perlawanan “cross over”. Dua pasukan yang menang akan mengisi baki slot separuh akhir nanti.

Cross Over, (Rabu, 1 Mei 2019):
Kanada lwn China – 5.50 petang
Malaysia lwn Wales – 8.05 malam