FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019: Keyakinan Saya Cukup Tinggi Pada Mereka — Roelant

By April 19, 2019 May 2nd, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (19 April 2019): Pengendali negara, Roelant Oltman melontarkan keyakinan tinggi terhadap barisan 18 pemain yang telah dipilihnya untuk melunaskan misi iaitu muncul selaku dua pasukan terbaik pada Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 yang akan bermula pada 26 April hingga 4 Mei di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1.

Bagi memastikan sasaran yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) iaitu muncul selaku juara pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, empat pemain yang telah kembali pulih sepenuhnya daripada kecederaan iaitu Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Muhammad Shahril Saabah dan penjaga gol Muhammad Hafizuddin Othman bakal kembali bersama pasukan kebangsaan.

Roelant yang ditemui berkata: “Saya memilih pemain yang saya yakin mempunyai keupayaan terbaik merealisasikan apa yang perlu kami lakukan iaitu melangkah ke perlawanan kelayakan terakhir hujung tahun nanti dengan memastikan pasukan menamatkan kejohanan di kedudukan dua terbaik.

“Sudah semestinya kejuaraan menjadi matlamat kami tetapi apabila perlawanan bermula, kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Dalam masa yang sama saya mempunyai keyakinan yang cukup tinggi terhadap barisan pemain yang telah saya pilih di mana saya percaya mereka akan selesaikan tugas dengan sebaik mungkin dan saya cukup teruja untuk menantikan kejohanan bermula,” jelasnya.

Dalam pada itu, Roelant turut percaya dengan kembalinya empat pemain yang mengalami kecederaan sebelum ini mampu untuk menambahkan lagi kekuatan pasukannya selain menjelaskan strategi yang akan digunapakai dalam kejohanan ini adalah lebih kepada menyerang dan menterjemahkan setiap peluang yang dimiliki kepada jaringan.

“Saya melakukan beberapa pertukaran daripada skuad Piala Sultan Azlan Shah baru-baru ini dengan kembalinya pemain berpengalaman yang mengalami kecederaan sebelum ini seperti Sukri, Syed, Shahril dan juga Hafizuddin selain saya mengekalkan 14 pemain yang beraksi dengan baik ketika di Piala Sultan Azlan Shah dan saya percaya pemain akan bermain bermati-matian.

“Saya juga akan menerapkan taktikal untuk menyerang lebih banyak daripada aksi sebelum ini kerana salah satu masalah yang telah saya kenalpasti adalah menterjemahkan setiap peluang kepada jaringan, jadi menyerang akan menjadi keutamaan dan kami akan cuba untuk mendapatkan seberapa banyak jaringan yang boleh daripada setiap gerakan yang dicipta,” ujarnya lagi.

Malaysia akan bertemu Wales dalam aksi persahabatan pada Selasa 23. April di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai aksi pemanas badan sebelum turun untuk perhitungan sebenar iaitu pada 26 April bertemu Brazil jam 8.05 malam.

Berikut merupakan senarai 18 pemain yang akan menggalas misi di FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019.

Muhammad Hairi Abd Rahman (Penjaga gol)
Muhammad Hafizuddin Othman (Penjaga gol)
Mohamad Sukri Abdul Mutalib (Pertahanan)
Muhammad Razie Abd Rahim (Pertahanan)
Faiz Helmi Jali (Pertahanan)
Muhammad Najmi Farizal Jazlan (Pertahanan)
Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan (Pertahanan)
Muhammad Marhan Mohd Jalil (Tengah)
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (Tengah)
Meor Muhamad Azuan Hassan (Tengah)
Mohd Fitri Saari (Tengah)
Mohd Ashran Hamsani (Tengah)
Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (Penyerang)
Nor Syafiq Sumantri (Penyerang)
Muhammad Shahril Saabah (Penyerang)
Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (Penyerang)
Muhammad Firhan Ashari (Penyerang)
Faizal Saari (Penyerang)