Siri Ujian: Malaysia Beri Tentangan Hebat Pada Aksi Penutup

By April 11, 2019 April 15th, 2019 Newsroom

Walaupun tewas 0-1 pada pertemuan terakhir dalam siri lima aksi ujian yang diatur buat skuad hoki wanita negara dengan India yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, namun tentangan hebat yang ditampilkan mereka buat India tidak senang duduk.Secara keseluruhan, Malaysian Tigress menamatkan siri perlawanan ujian dengan satu keputusan seri dan empat kekalahan, tetapi pujian tetap perlu diberikan kepada mereka selepas berjaya menampilkan peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan.

Pertemuan terakhir hari ini menyaksikan penjaga gol negara, Mas Huzaimah Aziz dibolosi pada minit ke-35 menerusi jaringan padang Navjot Kaur dan India yang mencuba sedaya upaya untuk mempertahankan kelebihan jaringan tersebut membuat bantahan ketika Malaysia dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pada penghujung perlawanan.

Ekoran mahu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah memanggil pemainnya keluar dan memilih untuk tidak meneruskan pukulan sudut penalti tersebut yang mungkin boleh membantu skuad wanita negara menamatkan siri ujian dengan keputusan seri.

“Pegawai pasukan lawan menyatakan perlawanan telah berakhir dan mereka tidak boleh menerima keputusan pengadil yang memberikan pukulan sudut penalti kepada kami. Selaku tuan rumah saya tidak mahu ketegangan tersebut berpanjangan jadi saya memanggil pemain keluar walaupun ia sebenarnya satu kesalahan untuk saya memberikan arahan kepada pemain untuk keluar.

“Bagi saya ia satu petanda yang baik apabila pihak lawan takut untuk melihat kami mengambil pukulan tersebut kerana ia menunjukkan mereka mempunyai rasa gerun terhadap fliker negara, Nuraini Rashid, yang menjaringkan dua gol ketika aksi ketiga yang berakhir dengan keputusan seri.

“Lima perlawanan ujian ini saya tidak risau tentang jumlah jaringan, kemenangan atau kekalahan kerana apa yang saya mahukan daripada aksi ini adalah untuk menilai kelemahan pasukan yang perlu kami atasi sebelum berlepas ke Ireland bagi kempen Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita 2019,” ujar Dharmaraj yang ditemui selepas siri ujian melaburkan tirai.

Dalam pada itu, Dharmaraj melihat corak permainan baru yang diperkenalkannya masih lagi cuba untuk diadaptasi oleh pemain dan baginya perubahan besar yang dilakukannya itu masih perlu untuk diasah agar pemain lebih memahami dan selesa dengan cara permainan tersebut.

“Ada pemain yang telah mula memahami struktur baru yang saya bawa untuk pasukan ini dan ada juga pemain yang masih lagi melakukan kesilapan terutama pada pertemuan pertama dan kedua tetapi pemain mula menunjukkan peningkatan pada pertemuan ketiga hingga aksi terakhir hari ini.

“Saya melihat ini merupakan satu perubahan besar untuk pemain dan saya dapat mengenalpasti antara kelemahan pemain adalah ketika situasi satu lawan satu, jadi saya memikirkan strategi untuk pemain tidak kelihatan lemah pada situasi tersebut dan saya akan terus menilai pada sesi video nanti,” jelasnya.