Siri Ujian: Malaysian Tigress Tewas Aksi Pertama

By April 4, 2019 April 8th, 2019 Newsroom

Malaysian Tigress memulakan aksi pertama daripada lima perlawanan ujian yang diatur dengan langkah kiri apabila tewas 0-3 kepada skuad senior India, pada pertemuan yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.Skuad negara berpeluang untuk membuka tirai jaringan apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti pertama pada minit keempat namun kelebihan tersebut tidak dapat diterjemahkan kepada gol selepas flik terus yang cuba untuk dilakukan oleh Nuraini Rashid nafikan penjaga gol India, Savita.

Minit ke-17 India yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti kedua berjaya menebus kesilapan pertama mereka dengan Vandana Katariya melakukan penyudahan yang menghadiahkan jaringan pembukaan daripada pukulan sudut penalti tersebut selepas bola yang cuba untuk dikeluarkan oleh penjaga gol negara Farah Ayuni Yahya kembali kepada salah seorang pemain India.

India dihidangkan dengan empat pukulan sudut penalti pada suku ketiga namun barisan pertahanan negara berjaya untuk menyekat mereka daripada terus menggandakan jaringan menerusi kelebihan tersebut.

Kesilapan berlaku pada minit ke-38 apabila aksi kelam kabut ketika cuba untuk mempertahankan gawang negara mengakibatkan India menggandakan jaringan hasil gol Lalremsiami sekaligus menjadikan kedudukan di suku ketiga 2-0 berpihak India.

Di suku terakhir, pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah melakukan perubahan dengan memberikan peluang kepada penjaga gol kedua, Mas Huzaimah Aziz untuk mempamerkan kebolehannya mempertahankan benteng negara.

Pintu gawang negara berjaya untuk dipertahankan dengan baik oleh Malaysian Tigress namun sekali lagi kesilapan yang berlaku pada saat-saat terakhir perlawanan menyaksikan India memperolehi gol ketiga mereka menerusi pemain yang membuka tirai jaringan, Vandana Katariya dan kedudukan 3-0 menutup aksi ujian pertama.

Jurulatih skuad wanita negara, Dharmaraj Abdullah yang ditemui selepas tamat perlawanan tetap memuji pemainnya yang telah memberikan persembahan terbaik selepas kali terakhir skuad bimbingannya itu beraksi di pentas kompetitif adalah ketika di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

“Ia satu permulaan yang baik untuk pasukan dan bermain dengan pasukan yang berkaliber seperti India, saya faham yang pemain merasai tekanan tetapi bagi saya mereka telah memberikan yang terbaik selepas tidak beraksi di saingan kompetitif dengan tempoh yang agak panjang.

“Kami menjadikan aksi ini sebagai satu platform untuk mengenalpasti setiap kelemahan dan pemain tentunya mendapat satu pendedahan yang cukup baik selain kami akan terus memperbaiki setiap kelemahan yang ada menjelang empat lagi aksi ujian,” jelasnya.

Malaysian Tigress akan turun untuk aksi kedua bertemu India pada Sabtu, 6 April 2019 jam 6.00 petang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Padang 1.