Empat Pemain Muda Dipanggil Sertai Kem Latihan Kebangsaan

By March 5, 2019Newsroom

KUALA LUMPUR (5 MAC 2019) : Setelah berakhirnya TNB Liga Hoki Malaysia 2019 pada 2 Mac lalu, seramai 28 pemain telah dikenalpasti oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan, Roelant Oltmans untuk menyertai kem latihan kebangsaan dan menerusi senarai yang dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini, empat pemain muda akan menyertai kem latihan di Kuantan Pahang bermula 10 hingga 16 Mac 2019.Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Syafie Ishak, Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dipanggil menyertai kem latihan khas yang diadakan sebagai persediaan Malaysian Tigers ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 23 hingga 30 Mac dan FIH Siri Akhir Lelaki 2019 di Kuala Lumpur pada 26 April hingga 4 Mei 2019.

Dapat dilihat menerusi senarai pemain yang dipanggil, Muhammad Najmi Farizal Jazlan akan kembali bersama menjalani latihan kebangsaan di mana latihan ini turut dijadikan sebagai platform bagi membentuk persefahaman terbaik di antara pemain sedia ada dan wajah-wajah baru yang berjaya menarik minat pengendali negara, Roelant Oltmans.

Sebagai persediaan untuk memastikan sasaran yang diletakkan oleh KHM iaitu melangkah ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2019 dicapai, kem latihan yang akan berlangsung selama seminggu itu turut menampilkan pakar pukulan sudut penalti dunia, Taeke Taekema dari Belanda yang akan menurunkan ilmunya bagi membantu mempertajamkan lagi pukulan sudut penalti negara agar penyudahan tepat di hadapan pintu gol dapat dilakukan.

Selain itu, jurulatih penjaga gol Martin Drijver akan turut bersama-sama membantu persiapan barisan penjaga gol negara dan selepas kem latihan motivasi yang dijalankan berakhir, skuad negara akan bertolak ke Ipoh Perak pada 18 Mac bagi menghadapi kejohanan antarabangsa pertama musim ini iaitu Piala Sultan Azlan Shah 2019.

Berikut merupakan senarai 28 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan kebangsaan:

1. Kumar Subramaniam
2. Muhammad Hairi Bin Abd Rahman
3. Muhammad Hafizuddin Bin Othaman
4. Muhamad Zaimi Bin Mat Deris
5. Mohamad Sukri Bin Abdul Mutalib
6. Muhammad Razie Bin Abd Rahim
7. Syed Mohamad Syafiq Bin Syed Cholan
8. Faiz Helmi Bin Jali
9. Luqman Nul Hakim Bin Ahmad Shukran
10. Muhammad Najmi Farizal Bin Jazlan
11. Muhammad Najib Bin Abu Hassan
12. Muhammad Amirol Aideed Bin Mohd Arshad
13. Muhammad Arif Syafie Bin Ishak
14. Muhammad Marhan Bin Mohd Jalil
15. Mohd Fitri Bin Saari
16. Meor Muhamad Azuan Bin Hassan
17. Mohamad Ashran Bin Hamsani
18. Joel Samuel Van Huizen
19. Muhammad Azrai Aizad Bin Abu Kamal
20. Muhammad Haziq Bin Samsul
21. Tengku Ahmad Tajuddin Bin Tengku Abdul Jalil
22. Muhammad Firhan Bin Ashari
23. Faizal Bin Saari
24. Nik Muhammad Aiman Bin Nik Rozemi
25. Norsyafiq Bin Sumantri
26. Muhammad Shahril Bin Saabah
27. Mohamad Akhimullah Bin Anuar Esook
28. Muhammad Noor Firdaus Bin Rosdi