TNB MHL 2019: PKS Uniten Calar Rekod Tanpa Kalah TLHT

By February 4, 2019 February 11th, 2019 Newsroom

Rekod sembilan perlawanan tanpa kalah berturut-turut yang dipegang oleh Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2019 (Wanita) akhirnya tercalar selepas perlawanan kesepuluh yang menemukan TLHT dengan PKS Uniten menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada tuan rumah pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.Walaupun tewas pada perlawanan yang berlangsung hari ini, namun kedudukan liga masih meletakkan TLHT di tangga teratas dengan 27 mata dan mereka sudah hampir pasti akan dinobatkan selaku juara bagi saingan liga musim 2019 dengan perlawanan kini hanya berbaki dua pertemuan sahaja lagi.

Sementara perebutan bagi kedudukan kedua liga dilihat semakin sengit berlangsung di antara PKS Uniten dan PDRM Blue Warriors yang telah melalui 11 perlawanan serta Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) yang mempunyai kelebihan satu perlawanan di mana mereka baru menamatkan perlawanan kesepuluh hari ini yang berlangsung di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai Kuala Lumpur dengan kekalahan tipis 0-1 kepada pasukan pelawat, PDRM Blue Warriors.

Dengan kemenangan yang diraih oleh PDRM Blue Warriors hari ini, ia sekaligus meletakkan mereka kini di kedudukan kedua dengan 24 mata meninggalkan PKS Uniten di kedudukan ketiga yang telah mengumpul keseluruhan 22 mata sementara LISHC di tangga keempat liga dengan 19 mata.

Terdahulu aksi yang menemukan PKS Uniten dan TLHT menyaksikan PKS Uniten yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti seawal minit kedua tidak melepaskan peluang untuk memastikan mereka berada di hadapan apabila Hanis Nadiah Onn berjaya untuk menyudahkan pukulan tersebut untuk PKS Uniten di hadapan 1-0.

Beraksi dalam suku kedua, TLHT kembali mengikat kedudukan menjadi 1-1 selepas pemain import mereka, Jaswinder Kaur bijak untuk meledak gol menerusi gerakan padang namun PKS Uniten yang sekali lagi mendapat kelebihan pukulan sudut penalti pada minit ke-56 menggunakan kelebihan tersebut untuk memenangi perlawanan hari ini apabila Raja Norsharina Raja Shabuddin menyempurnakan pukulan tersebut dan kedudukan 2-1 kekal berpihak PKS Uniten hingga tamat perlawanan.

Bagi aksi yang berlangsung di Stadium Hoki KLHA, Jalan Pantai Kuala Lumpur pula, LISHC yang menerima kunjungan PDRM Blue Warriors terpaksa berputih mata terlepas untuk mengutip sebarang mata apabila jaringan tunggal Nuramirah Shakirah Zulkifli menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17 berjaya untuk menjadi kelebihan buat PDRM Blue Warriors pada perlawanan tersebut yang juga membantu mereka untuk menambah tiga lagi mata dalam kutipan keseluruhan liga.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung lebih awal di Stadium Hoki KLHA antara KL Wipers dan PSHA-MSSPP menyaksikan pasukan tuan rumah mencatatkan kemenangan 3-0 dan ia merupakan kemenangan kedua buat KL Wipers dalam saingan liga.

KL Wipers yang kini berada di tangga keenam liga membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi gerakan padang Hasya Syahida Saifuddin dan Hasya Syahida juga muncul selaku penjaring tunggal yang menjaringkan hatrik dalam aksi hari ini di mana dia menjaringkan satu lagi gol padang pada minit ke-55 dan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-59 yang juga merupakan gol hatriknya.

Saingan liga akan kembali bersambung Khamis ini 7 February 2019 pada jam 5.00 petang dengan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menerima kunjungan PKS Uniten di Padang Hoki SSTMI sementara PSHA-MSSPP pula akan bertemu LISHC di Stadium Hoki USM dan TLHT akan bertemu KL Wipers di Stadium Hoki Tun Razak.