TNB LHM 2019: UniKL Rampas Tahta Liga

By February 1, 2019 February 11th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (01 FEBRUARI 2019) : Kejayaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menewaskan Maybank 5-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, hari ini menyaksikan takhta liga kini bertukar tangan apabila kemenangan tersebut meletakkan UniKL sebagai pendahulu dengan 16 mata dan diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dikedudukan kedua dengan 15 mata.Sementara Terengganu Hockey Team (THT) yang bertandang ke Stadium Universiti Teknologi Mara (UITM) turut mencatat kemenangan menewaskan pasukan tuan rumah, UITM 5-3 namun kedudukan THT masih kekal di tangga ketiga liga selepas mengumpul 13 mata.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan Maybank yang memiliki kelebihan pukulan sudut penalti gagal untuk menggunakan kelebihan tersebut untuk berada di hadapan dan sebaliknya UniKL menerusi gerakan padang kapten mereka, Muhammad Marhan Mohd Jalil berjaya untuk meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ke-11.

Dua minit selepas aksi suku kedua bersambung, Maybank berjaya untuk kembali mengikat kedudukan 1-1 apabila kedudukan Hafifihafiz Hanafi yang tidak dikawal dan keadaan pintu gol yang telah terbuka ketika penjaga gol UniKL, David John Harte cuba untuk menyelamatkan gawang digunakan dengan sebaiknya oleh Hafifihafiz untuk menyumbang gol pertama Maybank.

Bagaimanapun UniKL dilihat kerap melakukan serangan ke gawang Maybank untuk mendapatkan gol kedua dan akhirnya percubaan mereka membuahkan hasil selepas kelebihan pukulan sudut penalti kedua yang dimiliki berjaya untuk dimanafaatkan oleh Martijn Peter Havenga pada minit ke-28 menerusi satu flik terus, mengubah kedudukan menjadi 2-1 sekaligus menutup aksi separuh masa pertama.

Minit ke-35 UniKL hampir menambah satu lagi jaringan menerusi hantaran Kieran Ian Govers yang dapat di baca Marhan Jalil namun percubaan Marhan Jalil diselamatkan penjaga gol Maybank, Mohd Hanafi Hassan.

UniKL yang memiliki pukulan sudut penalti keempat akhirnya berjaya untuk menambah satu lagi gol apabila Martijn Peter Havenga sekali lagi muncul selaku penjaring dengan melakukan satu flik terus pada minit ke-39 untuk meletakkan UniKL selesa mendahului 3-1.

UniKL terus melebarkan sayap kedudukan apabila hantaran Kieran Ian Govers kali ini berjaya untuk dibaca oleh Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin yang menghulurkan kayunya untuk satu biasan yang menghasilkan gol keempat buat UniKL pada minit ke-52.

Beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan, UniKL berjaya untuk menambah satu lagi gol kali ini menerusi Robert Huib Kemperman dan sekaligus menyaksikan UniKL berjaya membawa pulang tiga mata yang cukup berharga.

Sementara itu pertemuan antara UITM dan THT menyaksikan THT dipaksa untuk bangkit mencari kemenangan apabila UITM berjaya untuk berada di hadapan pada satu ketika.

Jang Jonghyun meledak hatrik pada pertemuan tersebut menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-15, 34 dan 45 sementara dua lagi gol berpunca daripada gerakan padang Muhammad Rashid Baharom pada minit ke-50 dan Jung Manjae pada minit ke-59.

Tiga gol UITM pula hasil dua gol Mohd Azwar Abd Rahman menerusi pukulan sudut penalti dan gerakan padang pada minit ke-27 dan 40 sementara Nor Azrul Abd Rahman menjaringkan gol padang pada minit ke-37.

Satu lagi aksi yang menemukan TNB Thunderbolts dan Nurinsafi/Kedah Hockey di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur berkesudahan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas perlawanan berakhir dengan seri 2-2.