TNB MHL 2019: LISHC, PDRM-Blue Warriors Raih Kemenangan Kelima

By January 26, 2019 January 28th, 2019 Newsroom

Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) menebus kedukaan tewas pada aksi TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2019, Khamis lalu kepada PDRM Blue Warriors apabila berjaya untuk mencatat kemenangan 6-1 ke atas lawan mereka hari ini, KL Wipers pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.

Sementara hujan lebat serta keadaan padang yang tidak membenarkan pertemuan di antara PKS Uniten dan PDRM Blue Warriors untuk diteruskan selepas 33 minit masa permainan berlalu memaksa pertemuan tersebut ditamatkan lebih awal dan jaringan tunggal Fazilla Sylverster Silin pada minit ke-27 menghadiahkan tiga mata buat PDRM Blue Warriors pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ketika aksi yang menemukan LISHC dan KL Wipers berlangsung, enam gol berjaya dihasilkan oleh LISHC menerusi empat gol padang dan dua pukulan sudut penalti sementara KL Wipers berjaya mencuri satu gol menerusi jaringan gerakan padang.

Gol LISHC bermula pada minit ke-19 menerusi Sun Yuyuan dan berselang empat minit kemudian, Sui Qiaomeng terus menggandakan jaringan untuk LISHC dihadapan 2-0.

Seminit selepas gol kedua terhasil, Sun Yuyuan sekali lagi mencatat nama selaku penjaring dan minit ke-26, LISHC berjaya menjaringkan gol pukulan sudut penalti menerusi Li Feng sekaligus menutup aksi separuh masa pertama dengan mereka selesa di hadapan 4-0.

Bersambung suku ketiga gawang KL Wipers terus dibolosi kali ini hasil gol padang Wei Yuanmeng pada minit ke-31 dan Sui Qiaomeng berjaya menjaringkan gol kedua peribadinya pada perlawanan hari ini apabila minit ke-43 kelebihan pukulan sudut penalti dimanafaatkan dengan sepenuhnya untuk kedudukan berubah 6-0.

KL Wipers bagaimanapun berjaya membolosi gawang LISHC pada minit ke-54 selepas Nur Aisyah Mashuri menjaringkan gol padang dan kedudukan 1-6 kekal hingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) menyaksikan tuan rumah PSHA-MSSPP terpaksa akur tewas 1-2 kepada pelawat, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI).

Nur Insyirah Effarizal membuka tirai jaringan buat SSTMI pada minit ke-34 dan Nur Hafizah Maznan terus menggandakan kedudukan pada minit ke-43, kedua-duanya hasil gol padang.

Bagaimanapun PSHA-MSSPP bangkit mengejar kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti Siti Nur Husna Mohd Noh pada minit ke-54 namun ia tidak cukup untuk mereka sekurang-kurangnya mengikat kedudukan dan terpaksa akur tewas 1-2 kepada SSTMI.

Saingan bagi liga wanita akan terus bersambung pada Isnin, 28 Januari 2019 di mana pada jam 5.00 petang bertempat di Stadium Hoki USM, PSHA-MSSPP akan menerima kunjungan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), LISHC akan berdepan PKS Uniten di Stadium Hoki Nasional Bukti Jalil, sementara PDRM-Blue Warriors akan bertemu SSTMI di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur.