Soon Huat- Shevon Jumpa Peng Soon- Liu Ying Di Suku Akhir PMM 2019

By January 17, 2019 January 22nd, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (17 Januari 2019): Saingan peringkat suku akhir Perodua Malaysia Masters (PMM) 2019 esok bakal menemukan pasangan beregu campuran kebangsaan, Goh Soon Huat- Shevon Lai Jemie yang bertemu pasangan profesional negara, Chan Peng Soon- Goh Liu Ying di Axiata Arena.Mereka mara setelah menumpaskan lawan masing-masing di peringkat kedua tadi di mana Soon Huat- Shevon Lai menumpaskan pasangan dari Jepun, Takuro Hoki- Wakana Nagahara 21-13 21-19.

Shevon berkata, “Memang cita-cita kami untuk menjadi pasangan nombor satu negara untuk beregu campuran. Apapun paling penting ketika ini adalah untuk layak ke Sukan Olimpik,”katanya.

Ditanya mengenai pertemuan berdepan bekas rakan sepelatih esok, Shevon menambah, “Mungkin akan ada sedikit tekanan kerana masing-masing mahukan kemenangan. Apapun kami ada jurulatih yang akan membantu.”

“Berhadapan dengan Peng Soon- Liu Ying, atas gelanggang kami tetap lawan tapi di luar gelanggang kami masih bersahabat dan berkongsi banyak perkara,”kata Shevon.

Sementara itu, Peng Soon- Liu Ying pula beraksi tiga set sebelum berjaya mara. Pilihan ketiga kejohanan itu menang ke atas beregu campuran China, Lu Kai- Chen Lu 17-21 21-17 21-15.

Turut berlangsung sebentar tadi adalah perlawanan melibatkan pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo- Yap Cheng Wen. Mereka terkandas di pusingan kedua apabila tumpas 9-21 18-21 kepada gandingan Indonesia, Yulfira Barkah- Jauza Fadhila Sugiarto.

Banyak lagi aksi melibatkan pemain-pemain negara yang akan turun beraksi pada sebelah petang ini bagi memburu tempat ke suku akhir PMM 2019. Antaranya adalah Aaron Chia- Soh Wooi Yik, Lee Zii Jia, Goh Jin Wei dan ramai lagi.

Saingan PMM 2019 sedang berlangsung bermula dari 15 hingga 20 Januari 2019. Tiket boleh didapati menerusi pembelian atas talian di laman sesawang https://myticket.asia/ serta boleh membelinya secara fizikal semasa hari perlawanan di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

Harga tiket adalah bermula dari RM18 hingga RM75 mengikut kategori tempat duduk (upper, lower dan premium). Kanak-kanak berusia 4-18 tahun pula boleh menikmati diskaun harga tiket sehingga 50% hingga ke suku akhir kejohanan (Premium dan Lower Tier) dan diskaunhingga ke peringkat akhir (untuk tempat duduk Upper Tier). Terdapat juga pas VIP serta pas bermusim yang turut dibuka untuk pembelian.

Berstatus Jelajah Dunia BWF Super 500, Perodua Malaysia Masters 2019 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak US$350,000.