PMM 2019 Pentas Buat Zii Jia dan Rakan-Rakan Bukti Kewibawaan

By January 14, 2019 January 16th, 2019 Newsroom

KUALA LUMPUR (14 Januari 2019): Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menganggap kejohanan Perodua Malaysia Masters (PMM) 2019 pada 15-20 Januari ini adalah pentas terbaik buat dirinya serta pemain muda lain bagi membuktikan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bahawa mereka kini sudah bersedia untuk menggalas cabaran baru.Dengan beberapa pemain senior yang kini sudah meninggalkan badan induk badminton negara itu, Zii Jia berpendapat ianya harus dipandang dari sudut positif terutamanya buat pemain muda.

Zii Jia yang ditemui semasa saingan Purple League minggu lalu berkata, “Memang kalau kita tengok kebanyakan pemain dalam BAM kini adalah pemain muda.”

“Saya harap pemain-pemain muda dalam BAM bukan saya seorang, tetapi semua pemain muda lain tidak menjadikan ia sebagai beban malah menganggap ia sebagai satu tanggungjawab untuk membuktikan generasi kita mampu mengambil alih tugas ini,”kata pemain berasal Alor Setar itu.

Tambah Zii Jia, kehadiran semula Dato Lee Chong Wei untuk menjalani latihan juga memberi sumber inspirasi buat kem badminton negara.

“Saya rasa satu semangat untuk pemain perseorangan lelaki dan BAM dengan kembalinya Dato Lee Chong Wei menjalani latihan bersama kami kerana dia ialah pemain yang mampu memimpin kami,”ujarnya.

Mengenai sasarannya dalam PMM 2019, pemain berusia 21 tahun itu berkata, “Target saya mestilah kalau boleh nak pergi sejauh yang mungkin dalam PMM kali ini. Saya akan mula bermain sejak pusingan kelayakan. Bukan senang juga kerana kelompok 40 pemain terbaik dunia akan bersaing kali ini.

“Kalau boleh saya mahu sampai hingga ke separuh akhir ataupun final kerana saya akan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya agar tidak berasa tertekan,” kata Zii Jia.

Pemain itu juga mahu menjadikan kejohanan sebelum April ini bagi memperbaiki rankingnya untuk berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia kerana mahu beraksi dalam Jelajah Dunia BWF 750 atau 1000 bagi mendapatkan pengalaman serta pendedahan beraksi dengan pemain ranking atasan dunia.

Dalam Thailand Masters baru-baru ini, Zii Jia menamatkan saingan di peringkat suku akhir apabila tumpas kepada pemain dari Perancis, Brice Leverdez dengan keputusan 11-21, 19-21.

Mengikut jadual pusingan kelayakan saingan PMM 2019, Lee Zii Jia yang akan turun berdepan pemain dari China, Zhou Zeqi dan menantinya selepas itu adalah sama ada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin atau seorang lagi pemain China, Zhao Junpeng.

Tiket boleh didapati menerusi pembelian atas talian yang jualannya sudah dibuka di laman sesawang https://myticket.asia/ serta boleh membelinya secara fizikal semasa hari perlawanan di Axiata Arena, Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC).

Harga tiket adalah bermula dari RM18 hingga RM75 mengikut kategori tempat duduk (upper, lower dan premium). Kanak-kanak berusia 4-18 tahun pula boleh menikmati diskaun harga tiket sehingga 50% hingga ke suku akhir kejohanan (Premium dan Lower Tier) dan diskaun hingga ke peringkat akhir (untuk tempat duduk Upper Tier). Terdapat juga pas VIP serta pas bermusim yang turut dibuka untuk pembelian.

Berstatus Jelajah Dunia BWF Super 500, Perodua Malaysia Masters 2019 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak US$350,000.