TNB MHL 2019 : PKS Uniten, TLHT dan Blue Warriors Raih Tiga Mata Pertama

By January 11, 2019Newsroom

TNB Liga Hoki Malaysia saingan liga wanita 2019 membuka tirai hari ini dengan menyaksikan pasukan PKS Uniten, Terengganu Ladies (TLHT) serta PDRM – Blue Warriors cemerlang memastikan kempen liga dibuka dengan tiga mata penuh.

PKS Uniten yang turun bertemu PSHA-MSSPP membelasah lawannya itu 8-0, TLHT tidak berdepan masalah untuk menundukkan Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) 5-0 sementara PDRM – Blue Warriors menundukkan KL Wipers 4-0.

Nuraini Abdul Rashid muncul penjaring hatrik ketika membantu PKS Uniten meraih kemenangan pertama menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan, minit ke-22 dan 23.

Sementara lima lagi jaringan PKS United disumbangkan oleh Hanis Nadiah Onn, Surizan Awang Noh, Nur Zafirah Aziz, Kirandeep Kaur Gurdip Singh dan Nurliyana Md Kip masing-masing pada minit ke-17, 29, 32, 34 dan 38.

Aksi di antara TLHT dan SSTMI pula menyaksikan lima jaringan yang terhasil adalah menerusi tiga jaringan gol padang yang disumbangkan oleh Fatin Shafika Mahd Sukri (m’3), Nur Syafiqah Mohd Zain (m’13) dan Wan Norfaiezah Md Saiuti (m’20) sementara dua lagi jaringan daripada pukulan sudut penalti dijaringkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani (m’19) serta Juliani Mohamad Din (m’38).

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung, PDRM Blue Warriors membuka tirai jaringan pada minit kelapan hasil gol padang yang disumbangkan oleh Norbaini Hashim sebelum Fatin Naimah Zaki menambah dua lagi gol hasil pukulan sudut penalti serta jaringan padang pada minit ke-17 dan 34 dan Nuramirah Shakirah Zulkifli melengkapkan jaringan kemenangan PDRM Blue Warriors menerusi jaringan padang pada minit ke-55.

Saingan kedua liga akan berlangsung pada Sabtu (12 Januari 2019) dan berikut merupakan jadual perlawanan:

1700, Stadium Hoki Bukit Jalil, padang 1: Liaoning Infinite Space HC (LISHC) lawan KL Wipers
1700, Padang Hoki SSTMI: SSTMI lawan PSHA- MSSPP
1700, Stadium Hoki Tun Razak: PDRM Blue Warriors lawan PKS Uniten