Piala Tan Sri P Alagendra: TNB JUARA

By January 7, 2019Newsroom

BUKIT JALIL (6 JANUARI 2019) : Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul juara Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 selepas menewaskan Kelab Hoki Terengganu (THT) 2-1 dalam aksi final yang berlangsung sengit hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.Kehebatan penjaga gol TNB, S. Kumar ketika menidakkan beberapa percubaan THT menerusi gerakan padang dan pukulan sudut penalti selain menyelamatkan pukulan stroke Jang Jonghyun mengangkat Kumar selaku pemain terbaik perlawanan akhir.

Aksi sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasukan bermula sejak wisel dibunyikan di mana TNB dan THT berusaha untuk menembusi kawasan gol lawan dan pada penghujung suku pertama, TNB dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun kelebihan tersebut tidak dimanafaatkan mereka.

Bersambung suku kedua, aksi semakin rancak ditampilkan dengan deretan pukulan sudut penalti diperolehi oleh kedua-dua pasukan bermula dengan TNB yang mendapat pukulan sudut penalti kedua mereka namun kali ini flik yang cuba dilakukan oleh Firhan Ashaari sedikit melepasi palang gol lawan.

THT turut dihidangkan dengan kelebihan pukulan sudut penalti pada suku kedua namun tiga pukulan sudut penalti yang dimiliki mereka tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan apabila dua percubaan untuk melakukan flik tersasar sementara satu lagi berjaya diselamatkan oleh Kapten TNB, Faiz Helmi Jali.

Bermula suku ketiga THT terus mendapat beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi ketangkasan S. Kumar dan pertahanan TNB menidakkan dua pukulan sudut penalti THT dan satu percubaan padang.

Di penghujung babak suku ketika TNB mempunyai peluang untuk berada di hadapan namun kekalutan yang berlaku dihadapan pintu gol lawan tidak digunakan dengan sebaiknya dan kedudukan 0-0 terus kekal di suku ketiga.

Memasuki suku terakhir kesilapan penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othaman ketika mahu menyelamatkan pintu gol menyebabkan TNB dihadiahkan dengan pukulan stroke dan pada minit ke-46 TNB berjaya untuk berada di hadapan terlebih dahulu menerusi jaringan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Bagaimanapun jaringan tersebut tidak bertahan lama apabila THT bangkit untuk kembali mengikat kedudukan pada minit ke-48 menerusi jairngan padang Muhammad Rashid Baharom.

Kekalutan di hadapan pintu gol THT akhirnya dimanafaatkan oleh TNB dengan sebaiknya pada saat-saat terakhir perlawanan apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook bijak menggunakan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol kemenangan dan sekaligus menutup aksi akhir dengan keputusan 2-1 berpihak TNB.

Anugerah:
Juara: Tenaga Nasional Berhad (TNB) – RM 20,000
Naib Juara: Terengganu Hockey Team (THT) – RM 10,000
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: S. Kumar (TNB) – RM 1000