Kejohanan B-14: Perak Dan Kuala Lumpur Muncul Juara

By December 16, 2018 Newsroom

BUKIT JALIL (15 DISEMBER 2018) : Pasukan lelaki Perak dan skuad perempuan Kuala Lumpur muncul juara Kejohanan Hoki TNB-KHM Bawah 14 Tahun Kebangsaan 2018 (Lelaki dan Perempuan) bagi kategori masing-masing selepas kedua-dua pasukan membenam cabaran lawan mereka pada aksi akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.Perak berjaya untuk mempertahakan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut selepas cemerlang menewaskan Johor 4-1 dan skuad perempuan Kuala Lumpur yang turun bertemu Melaka tidak mempunyai sebarang masalah untuk menewaskan Melaka 2-0.

Pertemuan Perak dan Johor menyaksikan Perak tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila minit kelima menerusi gerakan padang, Mirza Hakim Mukhriz cemerlang untuk meletakkan Perak di hadapan.

Kuala Lumpur muncul juara selepas mudah membenam cabaran Melaka 2-0 hasil dua gol yang disumbangkan oleh Puteri Nuramalina Mohd Rashid.

Minit ke-11 Perak yang dilihat lebih mendominasi perlawanan terus melebarkan sayap kedudukan sekali lagi menerusi jaringan padang kali ini menerusi Ammar Rusyaidi Mohd Zulkaflee namun dua jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Johor untuk bangkit mengejar pada minit ke-16 apabila dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Muhammad Zamirul Hisham Romizambry merubah kedudukan menjadi 1-2.

Kedua-dua pasukan terus menggandakan asakan untuk mencari kelebihan gol dan Perak serta Johor masing-masing saling cuba untuk menembusi gawang lawan, bagaimanapun minit ke-42 Perak memiliki kelebihan pukulan sudut penalti dan Muhammad Syafiqal Izran Mohd Zaki cemerlang untuk meledak gol ketiga Perak.

Dua minit sebelum perlawanan berakhir pemain terbaik perlawanan akhir, Ammar Rusyaidi meledak gol kedua perbadinya untuk Perak terus dihadapan 4-1 dan kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan untuk Perak sekali lagi dinobatkan selaku juara.

Terdahulu Kuala Lumpur yang turun bertemu Melaka berjaya untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-33 selepas Puteri Nuramalina Mohd Rashid cemerlang untuk menjaringkan gol menerusi gerakan padang.

Berselang dua minit kemudian, kesilapan penjaga gol Melaka ketika mahu menyelamatkan gawang gol mengundang padah apabila kesalahan yang dilakukan menghadiahkan pukulan stroke buat Kuala Lumpur dan Puteri Nuramalina yang memikul tugas untuk menyempurnakan pukulan stroke tersebut berjaya memastikan Kuala Lumpur cemerlang di hadapan pada minit ke-35.

Aksi rancak kedua-dua pasukan terus bersambung bagaimanapun tiada sebarang tambahan jaringan terhasil dan kedudukan 2-0 kekal berpihak kepada Kuala Lumpur sehingga tamat perlawanan dan skuad bimbingan Rizal Mohd Razman muncul juara musim 2018.

Lain-lain keputusan:

Kategori Perempuan
Penentuan Tempat ke-3/4: Pulau Pinang 2-1 Terengganu (Pulau Pinang muncul pemenang tempat ke-3)
Kategori Lelaki
Penentuan Tempat ke-3/4: Sabah 2-2 Kuala Lumpur (Sabah muncul pemenang menerusi shoot-out 4-3)

Anugerah Kategori Perempuan
Juara: Kuala Lumpur
Naib Juara: Melaka
Tempat Ketiga: Pulau Pinang
Fairplay: Perlis
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nuraqilah Zulkarnain (Kuala Lumpur)
Penjaga Gol Terbaik: Nur Aini Yusri (Pulau Pinang)
Penjaring Gol Terbanyak: Puteri Nuramalina Mohd Rashid (Kuala Lumpur – 10 gol)
Pemain Terbaik Sepanjang Kejohanan: Azmyra Mia Sofea Azhairy (Kuala Lumpur)

Anugerah Kategori Lelaki
Juara: Perak
Naib Juara: Johor
Tempat Ketiga: Sabah
Fairplay: Johor
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Ammar Rusyaidi Mohd Zulkaflee (Perak)
Penjaga Gol Terbaik: Muhd Zaffan Zakwan Zakaria (Johor)
Penjaring Gol Terbanyak: Sriraam Vikneswaran (Negeri Sembilan – 6 gol)
Pemain Terbaik Sepanjang Kejohanan: Muhammad Farishshah Fauzian (Perak)