PLJ 2018: Bukit Cheras BC Muncul Juara Baru PLJ 2018

By November 4, 2018Newsroom

Cipta kemenangan besar pada hari terakhir PLJ untuk pintas Ampang Jaya BC

AMPANG JAYA (4 November 2018): Kelab Badminton (BC) Bukit Cheras mengesahkan kejuaraan mereka dalam saingan Divisyen Satu Purple League Junior (PLJ) 2018 selepas berjaya menang besar dalam dua aksi pada hari terakhir saingan PLJ di The Challenger Sports Centre, Ampang sebentar tadi.Pada perlawanan di sebelah pagi, Bukit Cheras BC yang mengejar pendahulu membelasah Cheras BC 15-1 sebelum mencatatkan satu lagi kemenangan besar 15-2 mengatasi Puchong United BC di sebelah petang sekaligus mengecewakan Ampang Jaya BC yang berada di puncak sebelum ini.

Lebih manis, ini merupakan kejuaraan sulung buat Bukit Cheras BC yang baru dinaikkan pangkat selepas mereka bergelar sebagai juara Divisyen Dua PLJ pada tahun lepas.

Secara keseluruhan, Bukit Cheras BC berjaya mengumpul 54 mata kemenangan untuk bergelar juara. Ampang Jaya BC yang meraih 52 mata kemenangan pula terpaksa berpuas hati sekadar menamatkan saingan di tempat kedua. Tempat ketiga pula disandang oleh Kepong BC yang mengumpulkan 41 mata kemenangan selepas semua pasukan mengharungi 8 aksi musim ini.

Dalam aksi terakhir bertemu Puchong United BC petang tadi, Low Eu Cong menghadiahkan mata buat Bukit Cheras BC dalam acara perseorangan lelaki selepas dia menang 3-0 (11-8, 11-8, 11-4) ke atas pemain Puchong United BC, Ho Ka Tim.

Selepas itu, Atitaya Povanon- Joanne Ng May Yin pula terus melebarkan kutipan mata buat Bukit Cheras BC apabila turut menang 3-0 (11-7, 11-3, 11-10) dalam acara beregu perempuan mengatasi Chloe Jeniffer- Erica Hoh Ji Ling.

Kemenangan yang terus terhasil menerusi Shally Wong- Shaun Wong Yau Xiang dalam acara beregu campuran, Syalsabila Vahira Irmawan dalam acara perseorangan perempuan dan gandingan Chung Kin Wai- Lim Tze Jian dalam beregu lelaki mengesahkan kejuaraan Bukit Cheras dalam PLJ kali ini.

Ketua Jurulatih Bukit Cheras BC, Tan Cheng Kuang, berkata kemenangan ini adalah di luar jangkaan kerana mereka adalah pasukan yang baru sahaja setahun jagung dalam Divisyen Satu PLJ.

Dia berkata, “Saya juga terkejut kerana pasukan ini boleh merampas kejuaraan Divisyen Satu PLJ.

Semalam kita mengejar Ampang Jaya BC yang mendahului carta, jadi pemain saya sedikit tertekan.

“Apapun hari ini, saya menasihati mereka untuk berjuang sahaja dengan semangat berpasukan tanpa perlu memikirkan apa-apa. Namun, semangat berpasukan yang ada pada Bukit Cheras BC telah membawa kepada kejuaraan ini. Terima kasih kepada semua pemain dan pengurusan Bukit Cheras BC, itu sahaja saya mampu ungkapkan,”kata Cheng Kuang.

Saingan Divisyen Dua yang tamat lebih awal hari ini menyaksikan Amanjaya BC muncul juara sekaligus berjaya meraih slot ke Divisyen Satu PLJ musim hadapan. Rekod kemenangan bersih yang berjaya dicapai kelab itu membuktikan mereka bukan calang-calang pasukan.

Amanjaya BC muncul juara setelah berjaya meraih 64 mata kemenangan, jauh meninggalkan pencabar, Kuantan Synergy BC di tempat kedua dengan 28 mata kemenangan dan meraih tempat ketiga saingan Divisyen Dua adalah Ayer Itam BC yang memperoleh 22 mata keseluruhan.

Ketua jurulatih Amanjaya BC, Edmund Loh berkata, “Saya sangat gembira dengan prestasi semua pemain. Tahniah kepada semua pemain dan barisan jurulatih. Bagi saya, semangat berpasukan adalah kunci kejayaan kita menjadi juara musim ini.

“Kita memang mensasarkan untuk muncul juara sebab itulah kita gilap pemain dengan sebaik mungkin. Kombinasi beberapa jurulatih berpengalaman juga merupakan antara penyumbang kejayaan pasukan ini. Sekarang kita akan pelan semula pasukan untuk menghadapi saingan Divisyen Satu musim depan yang pastinya lebih mencabar,”kata Edmund.

Juara Divisyen Satu PLJ membawa pulang wang tunai RM40, 000, naib juara RM20, 000 dan tempat ketiga RM10, 000. Bagi Divisyen Dua PLJ pula, juara menerima RM5, 000, tempat kedua RM3, 000 dan ketiga RM2, 000.

Untuk rekod, Bukit Cheras BC adalah juara baru Divisyen Satu PLJ musim ini setelah Cheras BC menjuarainya pada tahun 2017. Petaling BC pula pernah muncul sebagai juara PLJ pada dua musim berturut-turut iaitu pada tahun 2015 dan 2016.

KEPUTUSAN PENUH

Divisyen Satu (4 November 2018)- 9am
Bandar Maharani BC 9-11 Petaling BC
Petaling Jaya BC 7-11 Rawang BC
Puchong United BC 4-15 Kepong BC
Cheras BC 1-15 Bukit Cheras BC

3pm
Bandar Maharani BC 8-10 Rawang BC
Petaling Jaya BC 3-12 Kepong BC
Puchong United BC 2-15 Bukit Cheras BC
Cheras BC 2-15 Ampang Jaya BC

Divisyen Dua (12pm)
Desa Petaling BC 11-9 Tebrau City BC
Ayer Itam BC 9-9 Kuantan Synergy BC
Klang Rising BC 5-15 Amanjaya BC
PGBC 12-6 Ipoh BC
Serdang BC 12-7 Georgetown BC