TNB Piala Tun Abdul Razak 2018: Perak Pertahan Kejuaraan Divisyen Satu

By November 3, 2018Newsroom

KUALA LUMPUR (3 November 2018) : Perak berjaya untuk mempertahankan kejuaraan divisyen satu TNB Piala Tun Abdul Razak 2018 selepas menewaskan Terengganu 3-1 menerusi penentuan shoot-out apabila aksi 60 minit yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini tamat dengan keputusan seri 2-2.Terengganu terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 selepas Ameer Aiman Mohd Saberi menjaringkan gol padang namun jaringan tersebut pantas diikat oleh Shazrul Imran Nazli menerusi pukulan sudut penalti.

Terengganu kembali berada di hadapan pada minit ke-22 apabila Syamiru Aiman Bidin menjaringkan gol menerusi gerakan padang dan minit ke-47 Perak mengikat kembali kedudukan menerusi pemain muda mereka Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sekaligus menyaksikan kedudukan tersebut kekal hingga tamat perlawanan untuk keputusan juara ditentukan menerusi penentuan shoot-out.

Bagi aksi menetukan kedudukan tempat ketiga dan keempat divisyen satu, Kuala Lumpur menewaskan Melaka 2-1 untuk muncul pemenang tempat ketiga menerusi dua jaringan Mohamad Syamim Mohd Yusof dan Amirrullah Zainol menjaringkan gol tunggal Melaka.

Sementara itu Pahang berjaya muncul juara divisyen dua selepas hampir dua jam perlawanan tertangguh ekoran keadaan cuaca dan situasi itu nyata tidak memberikan kesan kepada Pahang yang berjaya untuk menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1.

Pahang memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-40 selepas Muhamad Hafiz Zainul meledak gol padang dan Muhamad Nazrey Din menggandakan kedudukan Pahang juga menerusi gol padang pada minit ke-51.

Walaupun PDRM dilihat cuba untuk bangkit mengejar kedudukan pada minit ke-53 hasil jaringan padang Mohd Haizzat Noor Azmi tetapi ia dilihat sudah terlambat untuk mengikat kedudukan dan jaringan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pengendali Pahang, Izwan Suhardi Selamat nyata berpuas hati dengan kejayaan anak-anak buahnya untuk muncul juara divisyen dua selapas dua tahun beraksi di divisyen tersebut dan dia sempat memuji barisan pemain muda bawah 21 tahun yang berjaya menyerap tekanan dan beraksi dengan cemerlang di pentas final.

“Kami sememangnya gembira kerana lama kami menanti untuk muncul juara divisyen dua dan tahniah kepada barisan pemain yang rata-rata dibarisi oleh pemain muda di mana 15 pemain kami merupakan pemain muda berusia bawah 21 tahun tetapi mereka berjaya untuk meyerap tekanan menyaingi pemain berpengalaman seperti PDRM yang juga dibarisi oleh bekas pemain kebangsaan.

“Perlawanan hari ini kami bermula dengan sedikit perlahan mungkin kerana keadaan padang yang lembab serta berat kerana hujan tetapi apabila separuh masa kedua kami memperbaiki semula kesilapan dan pemain berjaya menjaringkan gol yang cantik tetapi sedikit kealpaan di penghujung perlawanan agak membimbangkan.

“Bagaimanapun secara keseluruhan kami amat berpuas hati kerana berjaya untuk menebus kembali kekalahan kepada PDRM ketika pusingan round robin,” ujar Izwan.

Bagi perlawanan menetukan juara kategori wanita, Kuala Lumpur muncul juara baru selepas menundukkan juara bertahan Selangor 2-1 hasil jaringan kapten Kuala Lumpur, Norazlin Sumantri yang bermula dengan jaringan padang pada minit keempat serta pukulan sudut penalti pada minit ke-29 selepas Selangor mengikat kedudukan pada minit ke-11 menerusi jaringan padang Liyana Aqilah Mohd Sepawi.

Dalam pada itu penentuan kedudukan tempat ketiga dan keempat bagi kategori lelaki divisyen dua dan wanita menyaksikan kemenangan bersama diberikan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Lelaki dan Wanita) serta Pulau Pinang (Wanita) dan Selangor (Lelaki) ekoran faktor cuaca yang mempengaruhi jadual asal perlawanan menyebabkan aksi tersebut tidak dapat diteruskan.

Pasukan ATM dan Selangor bagi kategori lelaki divisyen dua dan ATM serta Pulau Pinang bagi kategori wanita akan berkongsi hadiah kemenangan iaitu RM 2,000 dan setiap pasukan akan membawa pulang RM 1,000.

Anugerah
Divisyen Satu (Lelaki)
Juara: Perak
Naib Juara: Terengganu
Ketiga: Kuala Lumpur
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (Perak)
Penjaring Terbanyak: Shello Silverius (Johor) dan Amirrullah Zainol (Melaka) – 5 gol
Fairplay: Terengganu

Divisyen Dua (Lelaki)
Juara: Pahang
Naib Juara: PDRM
Ketiga: ATM dan Selangor (berkongsi kemenangan)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Muhammad Izham Azhar (Pahang)
Penjaring Terbanyak: Baljit Singh Sarjab Singh – PDRM (9 Gol)
Fairplay: PDRM

Wanita
Juara: Kuala Lumpur
Naib Juara: Selangor
Ketiga: ATM dan Pulau Pinang (berkongsi kemenangan)
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir: Nor Azlin Sumantri (Kuala Lumpur)
Penjaring Terbanyak: Nuramirah Shakirah Zulkifli – PDRM (8 Gol)
Fairplay: Selangor