PLJ 2018: Perebutan Takhta Divisyen Satu PLJ Semakin Rancak

By October 27, 2018 October 29th, 2018 Newsroom

KUALA LUMPUR (27 Oktober 2018): Kemenangan besar Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya yang membenam cabaran Petaling BC dengan keputusan 15-2 membolehkan pasukan kendalian Ho Khek Mong semakin mendekati pendahulu liga Purple League Junior (PLJ), Bukit Cheras BC di Sports Arena, Puchong hari ini.Memasuki pertengahan liga, pendahulu, Bukit Cheras BC kini mengumpul 51 mata dan Ampang Jaya BC di kedudukan kedua dengan 50 mata diikuti Bandar Maharani BC di tempat ketiga dengan 41 mata selepas masing-masing menamatkan aksi keempat mereka tadi.

Jurulatih Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata, “Cuti PLJ sebelum ini memberikan ruang kepada kami untuk membetulkan pasukan. Kemenangan dengan jurang besar 15-2 hari ini sangat memuaskan hati saya kerana kami semakin menghampiri pendahulu, Bukit Cheras BC.”

“Untuk esok, dua-dua perlawanan agak sengit untuk kami. Kami akan bermain dengan Rawang BC di sebelah pagi dan satu lagi aksi menentang Kepong BC di sebelah petang. Saya harap pasukan akan menang dengan jurang mata yang besar untuk terus memintas kedudukan pasukan teratas PLJ,”kata Khek Mong selepas aksi pasukannya tadi.

Ampang Jaya BC membuka tirai kemenangan menerusi pemain perseorangan lelaki mereka, Ng Tze Yong yang menang menang 3-0 (11-6, 11-7, 11-7) mengatasi Par Tien Ann.

Pasangan beregu wanita Ampang Jaya BC, Goh Yi Xuan- Ng Wan Win terus mengukuhkan kemenangan pasukan itu apabila mereka meraih kemenangan 3-1 (11-3, 11-7, 7-11, 11-5) ke atas gandingan Petaling BC, Dylyvya Saha Davincy- Erika Vallensia.

Gandingan Chia Wei Jie- Ho Lo Ee yang turun dalam acara beregu campuran terus menambah luka buat pasukan Petaling BC. Mereka menang 3-0 (11-5, 11-8, 11-5) mengecewakan Choong Hon Jian- Dyvylyn Saha Davincy untuk Ampang Jaya BC terus selesa.

Dalam acara perseorangan perempuan pula, pemain Ampang Jaya BC berasal dari China, Chen Lu juga turut menang mudah 3-1 (9-11, 11-5, 11-5, 11-10) menewaskan Myisha Khairul untuk kedudukan keseluruhan menjadi 12-2.

Kemenangan mutlak Ampang Jaya BC disempurnakan oleh beregu lelaki mereka, Fatkhul Rozzi- Liu Zeqing yang mengalahkan gandingan Petaling BC, Mohd Hafiz Mohd Sikkander- Yeong Wai Ken 3-0 (11-3, 11-8, 11-6).

Sebelum itu, saingan Divisyen Dua PLJ yang berlangsung di sebelah pagi tadi menyaksikan pendatang baru liga, Kuantan Synergy BC juga semakin merapati pendahulu, Amanjaya BC selepas mereka menang besar 15-4 mengatasi Georgetown BC.

Jurulatihnya, Ivan Yee berkata, “Semua pemain sememangnya bersedia dari segala aspek untuk menghadapi Purple League Junior 2018. Saya memang sangat berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh pemain setakat ini.

“Ini adalah kali pertama kami menyertai saingan yang juga satu platform sebagai pendedahan untuk pemain remaja. Apapun, saya mengharapkan prestasi ini dapat dikekalkan hingga akhir liga untuk muncul sebagai juara Purple League Junior musim ini,”kata Ivan.

Dalam empat lagi perlawanan Divisyen Dua PLJ pagi tadi, Klang Rising BC tumpas 7-11 kepada Ayer Itam BC, PGBC menang 11-7 ke atas Desa Petaling BC, Tebrau City kalah 8-13 kepada Amanjaya BC, dan Serdang BC menang 10-9 menewaskan Ipoh BC.

Keputusan 27 Oktober 2018

Divisyen Satu (12.00pm)
Puchong United BC 13-6 Petaling Jaya BC
Cheras BC 7-11 Bandar Maharani BC
Rawang BC 6-14 Bukit Cheras BC
Petaling BC 2-15 Ampang Jaya BC

Divisyen Dua (9.00AM)
Klang Rising BC 7-11 Ayer Itam BC
PGBC 11-7 Desa Petaling BC
Tebrau City BC 8-13 Amanjaya BC
Serdang BC 10-9 Ipoh BC
Kuantan Synergy BC 15-4 Georgetown BC

(Bermula 3.00pm)
Klang Rising BC lwn Desa Petaling BC
PGBC lwn Serdang BC
Kuantan Synergy BC lwn Amanjaya BC
Tebrau City BC lwn Ipoh BC
Ayer Itam BC lwn Georgetown BC

Jadual 28 Oktober 2018 (Esok)
Venue: Sports Arena Puchong

Divisyen Satu (9.00am)
Puchong United BC lwn Bandar Maharani BC
Cheras BC lwn Petaling BC
Kepong BC lwn Bukit Cheras BC
Rawang BC lwn Ampang Jaya BC

(3.00pm)
Petaling Jaya BC lwn Bandar Maharani BC
Puchong United BC lwn Petaling BC
Cheras BC lwn Rawang BC
Kepong BC lwn Ampang Jaya BC

Divisyen Dua (12.00pm)

Ayer Itam BC lwn Desa Petaling BC
Klang Rising BC lwn Serdang BC
PGBC lwn Tebrau City BC
Kuantan Synergy BC lwn Ipoh BC
Amanjaya BC lwn Georgetown BC