Sukan Olimpik Remaja: Skuad Negara Raih Kemenangan Kedua Berturut-Turut

By October 9, 2018Newsroom

Skuad B-18 negara meneruskan rentak cemerlang dalam aksi peringkat kumpulan A, Sukan Olimpik Remaja 2018, Buenos Aires Argentina apabila mengutip tiga mata seterusnya pada aksi kedua yang menemukan mereka dengan Mexico selepas pertemuan yang berlangsung di Taman Olimpik Argentina awal pagi tadi menyaksikan Malaysia menewaskan lawan mereka itu 4-2.Selepas dua perlawanan berakhir, Malaysia dan Argentina kini berkongsi enam mata, bagaimanapun perbezaan jumlah jaringan meletakkan skuad negara di kedudukan kedua di mana skuad negara telah menjaringkan 18 gol dan bolos 2.

Bagi pertemuan dengan Mexico awal pagi tadi, skuad negara membuka tirai jaringan pada minit keempat apabila penyerang negara Mohamad Akhimullah Anuar Esook berjaya menjaringkan gol bagi menaikan semangat rakan sepasukan.

Empat minit kemudian giliran Muhammad Arif Syafie Ishak untuk terus meletakkan skuad negara di hadapan menerusi jaringan kedua dan aksi separuh masa pertama ditutup dengan Malaysia memimpin perlawanan 2-0.

Bersambung separuh masa kedua, Mexico bangkit untuk mengejar kedudukan dan usaha itu membuahkan hasil selepas Luis Villegas menjaringkan gol pada minit ke-14 untuk mereka merapatkan kedudukan.

Tersentak dengan jaringan lawan, skuad muda negara terus menggandakan asakan dan hasilnya pada minit ke-19, Malaysia menjaringkan dua gol berturut-turut masing-masing menerusi Arif Syafie Ishak dan Syarman Mat Tee untuk kedudukan berubah 4-1.

Beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan, Mexico memperolehi gol kedua mereka hasil jaringan Jorge Estrada bagaimanapun jaringan tersebut sudah terlewat untuk mereka mengejar skuad negara dan perlawanan tamat dengan keputusan 4-2.

Skuad B-18 negara akan turun untuk pertemuan ketiga menentang Zambia hari ini pada jam 10.45 malam waktu Malaysia.