Roelant Oltmans Diumum Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Pasukan Hoki Kebangsaan

By October 1, 2018Newsroom

KUALA LUMPUR (1 Oktober 2018): Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato Sri Subahan Kamal dalam satu sidang akhbar khas hari ini di Ibu Pejabat KHM mengumumkan jurulatih dari Belanda, Roelant Oltmans sebagai Ketua Jurulatih baru pasukan hoki negara berkuatkuasa hari ini.Dalam sesi itu juga, Subahan Kamal mengumumkan Ketua Jurulatih sebelum ini, Stephen van Huizen pula dilantik untuk memegang dua jawatan iaitu menjadi penolong jurulatih dan juga sebagai pengurus pasukan kebangsaan.

Subahan berkata, “Ini bukan untuk menidakkan keupayaan Stephen kerana beliau telah membuktikan yang dia telah melakukan terbaik untuk pasukan kebangsaan dan saya mahu Stephen (Stephen van Huizen) kekal bersama pasukan kebangsaan selaku Pengurus dan Penolong Jurulatih kerana dia begitu kenal dengan pemain-pemain sedia ada,”katanya.

Dato Sri Subahan menambah, “Saya berharap kombinasi ini akan memberikan lagi kekuatan kepada pasukan kebangsaan. Mengenai kedudukan barisan kejurulatih lain dalam skuad negara, mereka kekal memainkan peranan seperti biasa dan tiada sebarang perubahan lain. Terry Walsh juga masih kekal sebagai Pengarah Teknikal. Kemasukan Roelant adalah berkuatkuasa 1 Oktober 2018,”ujar Dato Sri Subahan Kamal.

Bercakap ketika sidang media, Ketua Jurulatih baharu pasukan kebangsaan, Roelant Oltmans berkata,

“Sudah tentu masih awal buat masa ini, apa yang bagus adalah saya memiliki Stephen yang begitu kenal rapat dan berpengalaman dengan pasukan kebangsaan. Saya juga mempunyai beberapa idea dan nanti kami akan berbincang mengenai kemajuan pasukan setakat ini.

“Kita juga perlu faham dalam masa lebih kurang dua minggu lagi pasukan akan menghadapi kejohanan (Trofi Juara-Juara Asia di Oman) dan untuk melakukan perubahan besar pada pasukan dalam tempoh itu, tidak akan membantu pasukan sebaliknya akan membuatkan pemain tidak selesa,”kata bekas jurulatih pasukan kebangsaan Pakistan itu.

Roelant menambah, “Apapun, sudah tentu perubahan dari segi struktur, persiapan dan sebagainya akan berlaku namun ianya akan dibincangkan kelak.

“Sasaran utama saya adalah mudah. Di mana-mana sahaja saya kendalikan pasukan, saya akan memastikan pasukan itu meningkat dan memiliki kualiti yang terbaik. Sekiranya saya berjaya meningkatkan kualiti seseorang pemain serta juga pasukan, keputusan yang diharapkan pastinya terhasil,”kata Roelant kepada media.

Stephen van Huizen pula berkata, “Bagi saya, prinsip saya adalah jelas iaitu pasukan adalah lebih penting daripada individu. Bukan hak saya menjadi jurulatih pasukan kebangsaan. Ini
adalah pasukan kebangsaan dan dilantik sebagai jurulatih pasukan kebangsaan sejak tiga tahun lalu adalah satu penghargaan. Saya juga merasakan telah memberikan yang sehabis baik.”

“Dato (Subahan Kamal) serius menyatakan kita ingin menggapai satu lagi tahap dan mahu layak ke Sukan Olimpik selaku satu pasukan. Saya mengenali Roelant ketika saya masih muda, masa itu dia (Roelant) telah memenangi pingat emas di Atlanta serta pernah menggenggam Piala Dunia di Utrecht.

Hari ini dia berada di sini dan saya yakin ini akan memberi nilai tambah kepada pasukan,”kata Stephen kepada pihak media.

Dalam pada itu, Dato Sri Subahan turut mengumumkan Malaysia akan menjadi hos kepada kejohanan Hoki Terbuka Siri Final tahun hadapan dan maklumat itu telah dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahma serta Datuk Ahmad Shapawi Ismail selaku Pengarah Majlis Sukan Negara.