Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Kekurangan Pemain Beri Kesan Kepada Malaysian Tigers

By September 19, 2018Newsroom

Pertahanan negara, Faiz Helmi Jali menyifatkan kehilangan seorang pemain yang dilayankan kad kuning untuk tempoh 10 minit nyata memberikan kesan kepada Malaysian Tigers ketika bertemu Jepun yang berkesudahan dengan Malaysia dan Jepun diikat 3-3 pada aksi yang berlangsung di Stadium Marrara, Australia hari ini.Layangan kad kuning yang diterima oleh salah seorang pemain negara pada minit ke-39 digunakan oleh Jepun untuk mengejar kedudukan skuad negara dan kelebihan tersebut menyaksikan Jepun merapatkan kedudukan di penghujung suku ketiga.

Faiz dalam pada itu juga memuji penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin Othman yang berjaya menyekat peluang-peluang Jepun untuk terus menjaringkan gol dan berkongsi peluang untuk menjaringkan gol bukan sahaja dimiliki oleh Jepun tetapi juga pasukan negara sayangnya tidak berjaya diterjemahkan dengan sebaiknya.

“Rentak permainan kami sedikit terganggu pada penghujung suku ketiga apabila seorang pemain dilayangkan kad kuning dan hukuman yang diterima adalah 10 minit dan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain ia akan menjadi kelebihan buat lawan di mana mereka menggunakan kesempatan tersebut untuk menjaringkan gol kedua.

“Jika dilihat pada perlawanan hari ini, penjaga gol, Hafizuddin banyak menyelamatkan percubaan lawan sama ada menerusi gerakan padang mahupun ketika pukulan sudut penalti.

“Tetapi bukan Jepun sahaja memiliki peluang-peluang untuk menjaringkan gol, kami juga turut memiliki peluang-peluang untuk terus menggandakan jaringan namun sayangnya kami tidak menggunakan kelebihan yang terhidang dengan sebaik mungkin,” jelas Faiz.

Turut senada dengan Faiz adalah pemain tengah, Mohd Fitri Saari yang juga merupakan penjaring gol ketiga pertemuan dengan Jepun dimana Fitri turut berpendapat layangan kad kuning serta kad hijau yang diberikan kepada pemain negara memberikan kesan kepada corak permainan mereka.

“Beberapa layangan kad kepada pemain hijau dan kuning dan hampir 20 minit kami bermain dengan kekurangan seorang pemain dilihat memberikan kesan dan kami perlu memperbetulkan kembali kesilapan-kesilapan yang boleh mendatangkan masalah.

“Ketika kami berada di hadapan 3-1, Jepun yang memiliki semangat tinggi datang melakukan serangan dan apa yang kami perlu perbaiki adalah untuk lebih fokus dalam mengawal bola supaya mereka tidak dapat melakukan percubaan dengan mudah,” tambah Fitri.