Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Firhan Akur Tewas Kepada Australia, Tekad Mahu Curi Tiga Mata Pertemuan Dengan Jepun

By September 18, 2018Newsroom

Penjaring gol kedua negara pada pertemuan dengan Australia di Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018, Muhammad Firhan Ashari menerima keputusan tewas 2-5 kepada pasukan tuan rumah pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Marrara, Australia, hari ini dan menyifatkan bukan mudah untuk bertemu dengan pasukan di kedudukan nombor satu dunia itu.Firhan juga turut melontarkan keyakinan bahawa Malaysia mampu untuk mencuri tiga mata pada pertemuan kedua esok berdepan dengan Jepun yang berada di kedudukan ranking ke-16 dunia sebelum turun pada aksi terakhir peringkat round robin menentang Argentina pada Jumaat.

“Bagi saya kami menerima kekalahan 2-5 kepada Australia kerana bertemu dengan pasukan di ranking pertama dunia bukan mudah dan bersyukur kami dapat juga menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.

“Aksi kedua bertemu Jepun esok saya berpandangan kami boleh mencuba untuk mendapatkan tiga mata penuh sebelum kami turun pada aksi terakhir round robin bertemu pasukan di ranking kedua dunia, Argentina,” jelasnya ketika dihubungi.

Firhan yang juga merupakan salah seorang pemain ketika Malaysian Tigers tewas pada aksi merebut pingat emas menerusi penentuan shoot-out ketika di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 baru-baru ini tidak mahu tewas buat kali kedua kepada lawan yang sama iaitu Jepun pada pertemuan esok.

Firhan yang mendapat sentuhan jaringan pada aksi pertama secara peribadi mahu membantu skuad negara meraih kemenangan ke atas Jepun selain berazam akan melakukan apa sahaja yang termampu untuk memastikan kejayaan milik skuad negara.

“Bagi saya sendiri sudah semestinya saya tidak mahu tewas kepada Jepun sekali lagi kerana kalau dilihat daripada kedudukan ranking, kami berada di kedudukan lebih baik daripada mereka dan jika dilihat daripada permainan juga saya melihat kami lebih setapak di hadapan daripada mereka dan kami tidak boleh tewas dengan mereka.

“Secara peribadi saya mahu membantu pasukan untuk mencari kemenangan dan jika saya memiliki peluang untuk menjaringkan gol dan jaringan itu juga mungkin membantu pasukan mencipta kemenangan, saya akan lakukan apa sahaja demi pasukan agar kami peroleh kejayaan,” tambahnya lagi.

Skuad negara akan bertemu Jepun pada aksi kedua peringkat round robin esok jam 3.45 petang waktu Malaysia.