KB Kepong isi satu lagi slot separuh akhir

By February 8, 2018 February 14th, 2018 Newsroom

GENTING HIGHLANDS (8 Februari 2018): Kelab Badminton (KB) Kepong berjaya mengisi satu lagi slot separuh akhir SS Purple League (SSPL) apabila pasukan bimbingan Mohd Zakry Abdul Latif itu menang 11-8 dalam aksi playoff mengejutkan KB Petaling di Arena Of Stars sebentar tadi.Kemenangan KB Kepong itu menyaksikan mereka menjadi pasukan terakhir melengkapkan kemaraan selaku empat pasukan terbaik SSPL musim ini setelah KB Puchong United, KB Cheras dan KB Petaling Jaya sudahpun mara.

KB Kepong memperoleh mata pendahuluan dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Dey Subhankar mengejutkan pemain KB Petaling dari Korea Selatan, Lee Hyun Il 3-0 (11-10, 11-9, 11-7).

Apapun KB Petaling kembali memenangi perlawanan dalam kategori perseorangan wanita. Pemainnya, Zhang Beiwen merapatkan set mata keseluruhan selepas mengatasi pemain KB Kepong, Qin Jin Jing 3-2 (10-11, 11-9, 6-11, 11-7, 11-8).

Kemenangan KB Petaling bagaimanapun tidak bertahan lama apabila KB Kepong kembali menguasai acara beregu lelaki selepas itu. Gandingan Liao Min Chun-Su Ching Heng menang 3-1 (11-6, 7-11, 11-10, 11-8) ke atas Aaron Chia-Shia Chun Kang sekaligus membolehkan mereka semakin selesa mendahului set mata keseluruhan 8-4.

Tidak mudah mengalah kalah, KB Petaling kembali menang dalam acara beregu campuran menerusi Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menang tipis 3-2 (11-8, 10-11, 10-11, 11-9, 10-8) dalam masa 30 minit permainan mengalahkan Cheah Yee See-Nur Azriyn Ayub. Apapun, kemenangan tipis itu menyukarkan KB Petaling yang masih ketinggalan 7-10 secara keseluruhan.

Pasukan KB Kepong yang hanya memerlukan satu mata sahaja dalam perlawanan perseorangan lelaki selepas itu memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya. Pemainnya, Lim Chi Wing seri 1-1 (5-11, 11-4) dengan Tanongsak Saensomboonsuk namun satu mata itu sudah cukup untuk membawa KB Kepong ke separuh akhir esok.

Jurulatih KB Kepong, Mohd Zakry Abdul Latif berkata, “Memang kemenangan ke atas KB Petaling tadi adalah satu kejutan. Kalau ikutkan barisan pemain yang diturunkan mereka juga memang kuat. Apapun, alhamdulilah pemain kita berjaya beraksi cemerlang, prestasi yang dipamerkan mereka tadi telah membawa kepada kemenangan pasukan.

“Saya tidak menolak, kemasukan pemain perseorangan lelaki dari India ke dalam pasukan, Dey Subhankar meninggalkan impak yang besar kepada pasukan. Kami tidak menyangka dia berjaya menang 3-0 ke atas Lee Hyun Il, itulah yang memberikan permulaan baik kepada pasukan hari ini,”ujar Zakry selepas perlawanan.

Mengulas aksi esok, Zakry berkata, “Untuk separuh akhir esok, lawan iaitu KB Cheras juga merupakan satu pasukan yang kuat. Kami akan turun sebagai pasukan bukan pilihan sekali lagi namun saya tetap berharap kejutan bakal berlaku,” kata bekas pemain kebangsaan itu.

Keputusan Playoff SS Purple (8 Februari 2018)

8pm: KB Kepong kalahkan KB Petaling 11-8
MS1: Dey Subhankar kalahkan Lee Hyun Il 3-0 (11-10, 11-9 11-7)
WS: Qin Jin Jing kalah kepadanZhang Beiwen 2-3 (11-10, 9-11, 11-6, 7-11, 8-11)
MD: Liao Min Chun-Su Ching Heng kalahkan Aaron Chia-Shia Chun Kang 3-1 (11-6, 7-11, 11-10, 11-8)
XD: Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub kalah kepada Chen Tang Jie-Peck Yen Wei 2-3 (8-11, 11-10, 11-10, 9-11, 8-10)
MS2: Lim Chi Wing seri dengan Tanongsak Saensomboosuk 1-1 (5-11, 11-4)

4pm: KB Ampang Jaya kalah kepada KB Petaling Jaya 4-9
MS1: Tan Jia Wei kalahkan Goh Giap Chin 3-0 (11-6, 11-7, 11-10)
WS: Xu Wei kalah kepada Supanida Katethong 1-3 (8-11, 11-8, 10-11, 6-11)
MD: Lukhi Apri Nugroho-Muhd Syawal Mohd Ismail kalah kepada Chooi Kah Ming-Kim Gijung 0-3 (10-11, 7-11, 8-11)
XD: Ch’Ng Choo Han-Ririn Amelia kalah kepada Kim Sa Rang-Lim Chiew Sien 0-3 (2-11, 8-11, 5-11)

Jadual SS Purple League 2017/18 Esok (9 Februari 2018)

Separuh akhir
(4pm) KB Petaling Jaya lwn KB Puchong United
(8pm) KB Kepong lwn KB Cheras