KB Petaling Mulakan Peringkat Kedua SS Purple League Dengan Kemenangan

By January 26, 2018 January 29th, 2018 Newsroom

KUALA LUMPUR (26 Januari 2018): Saingan peringkat kedua SS Purple League 2017/18 yang membuka tirai hari ini menyaksikan Kelab Badminton (KB) Petaling bermula garang apabila mengatasi KB Kepong 12-6 di Sports Arena Sentosa petang tadi.

Dalam perseorangan lelaki, Kenichi Tago terlebih dahulu mencuri mata set kemenangan 3-0 buat KB Petaling selepas pemain itu mudah mengatasi pemain muda KB Kepong, Mohd Nuraidil Adha Azman 11-8, 11-8, 5-11.

Selepas itu dalam acara perseorangan wanita, KB Kepong kembali bangkit menerusi pemainnya Qin Jing Jing yang menang tipis 3-2 (11-8, 11-8, 7-11, 3-11, 2-1) menewaskan pemain KB Petaling, Hera Desiana Rachmawati dari Indonesia.

Apapun, acara beregu lelaki kembali didominasi oleh KB Petaling melalui gandingan Aaron Chia/ Man Wei Chong selepas mereka berjaya menjinakkan Boon Xin Yuan/ Tee Kai Wun 3-0 (11-9, 11-8, 11-8).
KB Petaling meneruskan penguasaan mereka dalam acara beregu campuran. Gandingan Devi Tika Permatasari/ Irfan Fadhilah tidak berdepan masalah untuk menang 3-0 (11-4, 11-7, 11-9) ke atas pasangan KB Kepong, Cheah Yee See/ Nur Mohd Nazriyn Ayub untuk membolehkan pasukan mereka mendahului 11-3 mata set keseluruhan.

KB Kepong bagaimanapun berjaya mencuri kemenangan dalam satu lagi acara perseorangan lelaki menerusi pemainnya, Lim Chi Wing yang menewaskan pemain KB Petaling, Cheam June Wei 3-1 (5-11, 11-2, 11-6, 11-6) tetapi sudah terlambat untuk mengejar pungutan set mata keseluruhan.

Jurulatih KB Petaling, Ismail Saman berkata, โ€œDari segi keputusan saya berpuas hati. Namun, dari segi permainan, permulaan di pusingan kedua ini prestasi pemain agak menurun mungkin kerana rehat yang terlampau lama. Jadi pemain memerlukan masa untuk mendapatkan semula momentum. Saya harap pemain akan memperbaiki kelemahan dan lebih bersemangat selepas ini.

โ€œSaya juga berharap kita akan terus berusaha untuk merebut kedudukan teratas kerana kita bukan sahaja akan layak secara automatik ke separuh akhir tetapi ia juga memberikan satu motivasi penting kepada pasukan KB Petaling. Jadi, baki satu lagi perlawanan di pusingan kedua selepas ini, saya mahu pemain berusaha habis-habisan,โ€ kata Ismail selepas tamat perlawanan tadi.

Peringkat kedua SS Purple League menyaksikan enam pasukan teratas dari liga round robin di bahagikan kepada dua kumpulan. Mereka bersaing mendapatkan kedudukan terbaik untuk merebut dua slot automatik ke pusingan separuh akhir SS Purple League di Arena Of Stars, Resorts World Genting bulan hadapan. Sementara empat lagi pasukan akan beraksi secara playoff untuk memburu dua lagi baki slot di pusingan itu nanti.

Keputusan SS Purple Peringkat Kedua (26/1/2018)

(4pm) KB Kepong kalah kepada KB Petaling 6-12
MS2: Muhd Nuraidil Adha Azman kalah kepada Kenichi Tago 0-3 (8-11, 8-11, 5-11)
WS: Qin Jin Jing kalahkan Hera Desiana Rachmawati 3-2 (11-8, 11-8, 7-11, 3-11, 2-1)
MD: Boon Xin Yuan-Tee Kai Wun kalah kepada Aaron Chia-Man Wei Chong 0-3 (9-11, 8-11, 8-11)
XD: Cheah Yee See-Nur Mohd Azriyn Ayub kalah kepada Devi Tika Permatasari-Irfan Fadhilah 0-3 (4-11, 7-11, 9-11)
MS1: Lim Chi Wing kalahkan Cheam June Wei 3-1 (5-11, 11-2, 11-6, 11-6)