TNBLHM: THT Sedia Rampas Kejuaraan, KLHC Mahu Tambah Koleksi

By January 11, 2018 January 20th, 2018 Newsroom, Newsrooms

KUALA TERENGGANU (11 Januari 2018): Pasukan Hoki Terengganu (THT) mahu memanfaatkan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri sekali gus merampas Piala Sumbangsih daripada juara bertahan, Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu pada perlawanan pertama Liga Hoki Malaysia (LHM) esok.Baik THT mahupun KLHC, kedua-dua pasukan pastinya meletakkan sasaran untuk menjulang piala itu, namun keinginan untuk menang dilihat memihak kepada THT selepas gagal mempertahankan Piala Tan Sri P Alagendra minggu lalu apabila tewas kepada KLHC.

Justeru itu, ketua jurulatih THT, Sarjit Singh berharap barisan pemainnya tidak mensia-siakan peluang beraksi di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu esok.

“Jika diperhatikan kepada sambutan penyokong di Terengganu ia sangat memberangsangkan apabila ramai hadir ke stadium.

“Sejak empat tahun lalu, saya rasa kehadiran penyokong di stadium ini adalah paling tinggi. Jadi kami tidak boleh sekali lagi mengecewakan penyokong yang hadir ke stadium.

“Harap kami dapat memenangi Piala Sumbangsih pada kali ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan mahu barisan melupakan seketika kejayaan memenangi Piala Tan Sri P Alagendara 2018 dan fokus kepada perlawanan esok yang juga aksi pembuka tirai LHM.

“Saya jangkakan akan berlaku satu lagi perlawanan yang sengit. Kejayaan memenangi Piala Tan Sri P Alagendra sudah menjadi sejarah.

“Jadi sekarang fokus utama setiap pemain seharusnya kepada perlawanan pertama liga yang juga untuk merebut Piala Sumbangsih.

“Memang perlawanan ini menawarkan satu piala, tetapi kami lebih berminat untuk meraih tiga mata pertama kerana setiap pungutan mata di saingan liga sangat penting.

“Kami perlu memperbaiki beberapa kelemahan terutama di bahagian pertahanan dalam usaha mengekang asakan THT,” katanya.