Yeoh Kay Lun Mahukan Aksi Lebih Kemas Pemain KB Petaling Jaya

By January 6, 2018 January 20th, 2018 Newsroom, Newsrooms

KUALA LUMPUR (6 Januari 2018): Juara bertahan SS Purple League (SSPL), Kelab Badminton (KB) Petaling Jaya menamatkan pusingan round robin dengan menundukkan KB Kepong 12-11 di Sports Arena sebentar tadi.

Biarpun berjaya mara ke pusingan seterusnya dalam saingan ini, namun aksi yang tidak konsisten dengan status selaku juara bertahan nyata mengundang rasa tidak puas hati jurulatihnya, Yeoh Kay Lun.

Dia berkata, โ€œSaya rasa perlawanan tadi adalah 50-50, kita tengok perlawanan terakhir dalam perseorangan lelaki tadi, sepatutnya Lee Cheuk Yiu boleh menang lebih awal kerana dia adalah pemain yang mengamalkan corak permainan serangan pantas. Tetapi kelajuannya berkurangan tadi.

โ€œKita sebenarnya mempunyai pemain yang berkualiti tinggi, namun prestasi mereka dalam empat perlawanan terakhir sangat teruk. Mereka menjalani latihan setiap hari tetapi tetap melakukan kesilapan mudah. Kita tengok perkara sama berlaku dalam acara beregu, biarpun dah lama berpasangan tetapi masih melakukan kesilapan mudah. Saya harap mereka mengubah mentaliti mereka selepas ini dan lebih fokus dalam peringkat kedua,โ€ katanya selepas tamat perlawanan tadi.

KB Petaling Jaya terlebih dulu meraih mata dalam acara perseorangan lelaki selepas pemainnya, Goh Giap Chin menang mengatasi lawannya, Nuraidil Adha Azman. Biarpun menerima tentangan sengit daripada Nuraidil, Giap Chin berjaya mengawal rubber set dengan baik untuk menang tipis 3-2 (10-11, 11-4, 11-7, 9-11, 11-6).

Selepas itu, giliran KB Kepong pula menguasai acara perseorangan wanita. Pemainnya, Ho Yen Mei menang 3-1 (11-7, 11-9, 10-11, 11-6) mengatasi pemain KB Petaling Jaya, Lee Zii Yii.

Acara beregu lelaki selepas itu menyaksikan KB Kepong terus terus menguasai perlawanan. Gandingan pasukan itu, Nur Mohd Nazriyn Ayub/ Tan Chee Tean berjaya mengatasi Jagdish Singh/ Low Juan Shen dengan keputusan 3-2 (11-6, 9-11, 10-11, 11-10, 11-6) menjadikan KB Kepong mendahului di depan dengan set mata keseluruhan 8-6.

Saingan semakin rancak dalam acara beregu campuran apabila KB Petaling Jaya kembali merampas kemenangan. Pasangan pasukan itu, Goh Yea Ching/ K. Yogendran menang 3-1 (9-11, 11-9, 11-10, 11-8 ) ke atas Cheah Yee See/ Goh Soon Huat sekaligus mengikat kedudukan menjadi 9-9.

Lee Cheuk Yiu yang turun dalam satu lagi acara perseorangan lelaki berjaya memastikan kemenangan milik KB Petaling Jaya. Dia menang tipis 3-2 (5-11, 11-6, 9-11, 11-9, 11-8) mengalahkan Lim Chi Wing dari KB Kepong.

Enam pasukan teratas daripada saingan liga round robin SSPL yang akan layak ke peringkat seterusnya. Mereka akan mengharungi peringkat kedua sebelum bersaing di peringkat akhir SSPL di Arena Of Stars, Resorts World Genting pada 8-11 Februari ini.

Keputusan SS Purple Saingan Round Robin (6/1/2018)

(4pm) KB Petaling Jaya kalahkan KB Kepong 12-11
MS2: Goh Giap Chin kalahkan Muhd Nuraidil Adha Azman 3-2 (10-11, 11-4, 11-7, 9-11, 11-6)
WS: Lee Zii Yii kalah kepada Ho Yen Mei 1-3 (7-11, 9-11, 11-10, 6-11)
MD: Jagdish Singh Dhanoa-Low Juan Shen kalah kepada Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Chee Tean 2-3 (6-11, 11-9, 11-10, 10-11, 6-11)
XD: Goh Yea Ching-K. Yogendran kalahkan Cheah Yee See-Goh Soon Huat 3-1 (9-11, 11-9, 11-10, 11-8)
MS1: Lee Cheuk Yiu kalahkan Lim Chi Wing 3-2 (5-11, 11-6, 9-11, 11-9, 11-8)