KB Puchong United Ke Final SSPL 2016/17

By February 10, 2017 February 12th, 2017 Newsroom

GENTING HIGHLANDS (10 Februari, 2017): Saingan SS Purple League (SSPL) peringkat separuh akhir menyaksikan Kelab Badminton (KB) Puchong United berjaya menempah tempat ke final apabila mengatasi lawan mereka, KB Muar di Arena Of Stars, Resorts World Genting sebentar tadi.

Kemenangan 11-4 itu juga menyaksikan KB Puchong United menghampakan hasrat KB Muar untuk memburu gelaran hatrik Purple League setelah pasukan dari Johor itu menjuarai dua edisi kejohanan sebelum ini.

Dalam perseorangan lelaki, KB Puchong United unggul untuk memungut mata pendahuluan. Pasukan itu yang diwakili oleh Chou Tien Chen mudah menumpaskan wakil KB Muar, Zulfadli Zulkifli 11-4, 11-7, 11-8 (3-0).

Penguasaan terus memihak KB Puchong United dalam aksi perseorangan wanita. Kali ini pemainnya, Tai Tzu Ying berjaya menewaskan wakil KB Muar, Shen Ya Ying dengan keputusan 11-7, 11-8, 11-9 (3-0) untuk mendahului selesa 6-0 keseluruhan.

Memasuki acara beregu lelaki, KB Muar bagaimanapun kembali bangkit. Mereka yang diwakili Lee Yong Dae/ Arif Latiff menang tipis 11-10, 11-5, 7-11, 9-11, 8-7 (3-2) ke atas pasangan KB Puchong United, Lim Khim Wah/ Tan Chee Tean.

Gandingan KB Puchong United dalam acara beregu campuran memastikan tiket mereka ke final SSPL dalam genggaman. Christinna Pedersen/ Yoo Yeon Seong cemerlang apabila berjaya mengenepikan pasangan KB Muar, Chan Peng Soon/ Lee Hyo Jung 11-9, 11-9, 7-11, 11-4 (3-1) sekaligus mengesahkan kemaraan mereka ke perlawanan akhir SSPL 2016/17.

Pengurus KB Puchong United, Irina Inozemtseva nyata gembira selepas pasukannya menang dalam perlawanan tadi yang baginya satu tekanan cukup tinggi kepada pemain.

Irina berkata, โ€œDari perlawanan pertama hingga terkahir tadi, tekanan sebenarnya sangat tinggi. Tapi kami berjaya mengutip mata demi mata dan saya percaya ini adalah kerana semangat berpasukan kami yang tinggi.

โ€œBerdasarkan perlawanan hari ini, saya yakin kita mampu menjuarai saingan SSPL musim ini. Apapun kita perlu rehat yang cukup memandangkan pemain sangat penat selepas memberi komitmen yang begitu tinggi sebentar tadi,โ€ ujar Irina yang berkeyakinan pasukannya mampu memburu gelaran sulung Purple League dalam final nanti.

KB Puchong United akan menanti satu lagi pemenang di separuh akhir antara KB Bandar Utama Dragons atau KB Petaling Jaya yang akan membuat perhitungan pada sebelah malam nanti.
Keputusan Separuh Akhir SSPL 2016/17 (10 Februari 2017)

(4pm) KB Muar kalah kepada KB Puchong United 4-11
MS1: Zulfadli Zulkiffli lost to Chou Tien Chen 0-3 (4-11, 7-11, 8-11)
WS: Shen Ya Ying lost to Tai Tzu Ying 0-3 (7-11, 8-11, 9-11)
MD: Lee Yong Dae-Mohd Arif Ab Latif bt Lim Khim Wah-Tan Chee Tean 3-2 (11-10, 11-5, 7-11, 9-11, 8-7)
XD: Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung lost to Christinna Pedersen-Yoo Yeon Seong 1-3 (9-11, 9-11, 11-7, 4-11)