TNB sekat THT

By February 8, 2017 February 10th, 2017 Newsroom

Kuala Lumpur (8 Februari 2017): Tenaga Nasional Berhad mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mengikat Terengganu Hockey Team (THT) 1-1 pada aksi Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Pantai, hari ini.

Keputusan itu bagaimanapun tetap menyaksikan THT kekal memimpin saingan liga dengan mengumpul 23 mata selepas sembilan perlawanan.

Ketua jurulatih TNB, Muhamad Amin Rahim berkata, barisan pemainnya berjaya mempamerkan aksi terbaik dengan mengekang segala serangan THT.

“Bagi saya ia adalah perlawanan yang sangat baik hari ini walaupun sebenarnya pemain boleh memberikan aksi lebih baik.

“Satu mata yang diraih hari ini cukup bermakna.

“Selepas tewas 1-6 kepada THT pada perlawanan sebelum ini, kami melakukan post mortem untuk melihat kelemahan dan kekuatan yang ada pada THT.

“Harap setiap pemain dapat mengekalkan momentum ini untuk terus mencabar pasukan teratas liga,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Muhammad Amirul Mirza Norzi meletakkan THT di depan pada minit ke-10 menerusi jaringan padang.
Namun usaha TNB untuk mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil apabila Muhamad Ramadan Rosli menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-49.

Sementara itu di Stadium SSTMI, UniKL mensia-siakan peluang untuk meraih tiga mata penuh selepas sekadar seri tanpa jaringan ketika bertemu TNB Thunderbolts.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata barisan pemainnya terlalu bersahaja pada perlawanan itu sehingga hampir menghukum diri sendiri.

“Sekurang-kurangnya kami meraih satu mata berbanding tewas.

“Kami memperoleh empat pukulan sudut penalti tetapi gagal untuk menyempurnakan kesemuanya,” katanya.

Liga Premier

Keputusan hari ini

TNB 1 THT 1
TNB Thunderbolts 0 UniKL 0
SSTMI 1 Maybank 3
UiTM-KPT 1 KLHC 9