Malaysian Tigress mula dengan langkah kanan

By January 14, 2017 February 1st, 2017 Newsroom

Kuala Lumpur (14 Januari 2017): Skuad hoki wanita negara memulakan kempen Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua di Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur dengan langkah kanan apabila mengetepikan cabaran Hong Kong, 9-0 Skuad negara mempunyai beberapa peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan lebih awal pada suku pertama, namun penyudahan yang kurang menjadi menyaksikan mereka gagal untuk meledak sebarang gol.

Sebaik sahaja memasuki suku kedua, Malaysian Tigress akhirnya berjaya untuk merobek gawang Hong Kong, menerusi jaringan padang Nurul Nabihah Mansur pada minit ke-16.

Kapten pasukan negara, Siti Noor Amarina tidak menghampakan harapan penyokong yang mahu menyaksikan skuad negara terus menghasilkan jaringan apabila cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24. Berselang lima minit kemudian giliran Fazilla Sylverster Silin untuk menyempurnakan pukulan sudut penalti, sekaligus menjadikan kedudukan 3-0.

Sebelum tamat suku ketiga, Hanis Nadiah Onn menambah keceriaan penyokong yang hadir untuk memberikan sokongan dengan jaringannya.

Seminit selepas suku keempat bermula, Malaysian Tigress bagaikan mendapat suntikan tambahan apabila meledak tiga gol berturut-turut pada minit ke-46, 48 dan 49, masingmasing menerusi Nor Hasliza Ali dan dua gol pukulan sudut penalti oleh Nuraini Abdul Rashid serta Fatin Shafika Mohd Sukri.

Dengan masa perlawanan hanya berbaki beberapa minit, jaringan kelapan skuad negara hadir selepas pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Nuraini pada minit ke-56 dan beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan, beliau meledak gol kesembilan untuk menyempurnakan malam yang cukup gemilang buat skuad bimbingan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Dalam satu lagi perlawanan Pool B menyaksikan Ireland berpesta gol apabila membelasah Kazakhstan, 12-0. The Green Army membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Nicola Evans hasil jaringan padang, dan dua minit kemudian giliran Anna O’Flanagan untuk mencatat nama selaku penjaring.

Memasuki suku kedua, Anna dan Nicola terus menambah derita Kazakhstan menerusi jaringan padang pada minit ke-19 dan 20.

Seakan tidak boleh dihentikan, Nicola meledak hatrik pada minit ke 36. Lima minit kemudian, giliran Anna untuk menjaringkan hatrik dan menjadikan kedudukan 6-0.

Memasuki suku terakhir, Ireland terus-terusan menjadikan Kazakhstan sebagai mangsa mereka apabila Kathryn Mullan menjaringkan gol pada minit ke-47, diikuti Chloe Watkins pada minit ke-48. Minit ke-51 giliran Rebecca Barry untuk mencatat nama selaku penjaring apabila menyudahkan pukulan sudut penalti, sementara Gillian Pinder meledak gol ke-10 seminit kemudian.

Tiga minit sebelum masa perlawanan berakhir, Kazakhstan bagaikan sudah tidak berdaya untuk menyekat kemaraan Ireland apabila Nicola Daly dan Anna menyumbang gol ke-11 dan ke-12 buat pasukan mereka.

Sementara itu, Aksi Pool A berkesudahan dengan Thailand cemerlang untuk berada di tangga teratas apabila menewaskan Singapura, 4-0 dan Itali berada di tangga kedua selepas menewaskan Wales 3-0
Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua Wanita, Esok (Ahad โ€“ 15 Jan, 2016)

Pool A
Wales lwn Singapura, 6.15 petang
(Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur)

Thailand lwn Itali, 8.30 malam
(Stadium Tun Razak, Kuala Lumpur)