SSPL 2016/17: Lee Chong Wei Diturunkan Dalam Beregu Campuran

By January 5, 2017 January 9th, 2017 Newsroom

KUALA LUMPUR (5 Januari, 2017): Jurulatih Kelab Badminton (KB) Petaling, Yap Kim Hock mengharapkan kehadiran Datuk Wira Lee Chong Wei akan menghadiahkan kemenangan buat pasukan itu sekaligus layak ke peringkat kalah mati SS Purple League (SSPL) musim ini.

Bertemu KB Ampang Jaya pada Sabtu ini yang juga merupakan perlawanan terakhir peringkat liga, Datuk Wira Lee Chong Wei akan melakukan penampilan sulungnya dalam kempen SSPL musim ini bersama KB Petaling.

Yap Kim Hock berkata, kehadiran jaguh badminton negara itu sudah pasti akan menyuntik semangat pasukannya yang masih memerlukan kemenangan dalam baki dua perlawanan peringkat terakhir.

Bekas jurulatih negara itu berkata, “Ya sudah pasti Datuk Wira Lee Chong Wei akan diturunkan buat kali pertama apabila kita berjumpa KB Ampang Jaya nanti. Kita harap dia dapat memberikan mata kepada pasukan dan paling penting motivasi pasukan juga pastinya lebih tinggi dengan kehadiran beliau.

“Apapun dia tidak akan bermain dalam perseorangan lelaki tapi akan digandingkan dengan pemain wanita dari China, Zhao Yunlei dalam perlawanan itu,” tambah Kim Hock.

Selain itu, Yap Kim Hock juga berkata pasukannya akan menurunkan barisan pemain terbaik dalam baki dua perlawanan kerana pungutan mata pasukannya belum selamat untuk layak ke Genting Highlands bagi peringkat kalah mati nanti.

Dia berkata, “Kita akan letakkan pemain terkuat apabila menentang KB Ampang Jaya, jadi peluang pastinya lagi besar untuk menang dan mencapai sasaran berada dalam kelompok enam pasukan teratas liga musim ini sekaligus layak ke peringkat seterusnya selepas ini,” ujar Kim Hock selepas menang bertemu KB Bangsar Hawks semalam.

KB Petaling akan bertemu dengan KB Puchong United terlebih dahulu pada hari ini jam 8 malam dan Sabtu ini pada waktu yang sama, mereka akan membuat perhitungan terakhir SSPL peringkat round robin bertemu KB Ampang Jaya. Venue perlawanan adalah di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.