SSPL 2016/17: KB Bandar Utama Dragons Jinakkan KB Klang City

By January 3, 2017 January 4th, 2017 Newsroom

KUALA LUMPUR (3 Januari, 2017): Kelab Badminton (KB) Bandar Utama Dragons kini kembali ke landasan kemenangan selepas kalah kepada KB Kepong dalam perlawanan keenam liga SS Purple League (SSPL) minggu lalu.

Turun berdepan lawan di tangga tercorot SSPL iaitu KB Klang City di Cheras, ia nyata bukan masalah besar kepada KB Bandar Utama Dragons untuk menumpaskan lawannya 13-5.

Keputusan itu sekaligus melonjakkan mereka ke kedudukan ketiga liga dengan 70 mata setakat ini.

Goh Soon Huat yang mewakili KB Bandar Utama Dragons berjaya mendapat mata kemenangan pertama dalam kategori perseorangan lelaki. Dia menang ke atas pemain remaja kebangsaan yang mewakili KB Klang City dengan keputusan 11-8, 11-4, 7-11, 11-6 (3-1) dalam masa 29 minit.

Selepas itu giliran pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei pula menghadiahkan kemenangan buat KB Bandar Utama Dragons. Dia berjaya menewaskan pemain import dari Finland yang mewakili KB Klang City, Nanna Alaxendra Vainio dengan keputusan 11-1, 11-4, 11-5 (3-0).

Mengulas kemenangan ke atas lawannya itu, Goh Jin Wei menganggap lawannya banyak melakukan kesilapan mudah. Kata Jin Wei, “Saya rasa bermain dengan Nanna Alaxendra tadi adalah satu perlawanan yang tidaklah begitu sukar kerana dia banyak melakukan kesilapan sendiri sehingga memudahkan saya memenangi perlawanan.

“Saya harap dengan ramai pemain-pemain senior yang ada bersama pasukan seperti Tan Wee Kiong yang menjadi kekuatan selama liga ini bermula, kita boleh layak ke peringkat kalah mati dan sekurang-kurangnya meraih tempat ketiga Purple League musim ini,” ujar pemain muda berbakat besar itu.

Dalam beregu lelaki, KB Klang City berjaya mencuri mata kemenangan apabila gandingan Low Hang Yee/ Muhd Umar Al-Qhatab menang 11-9, 4-11, 11-10, 11-9 (3-1) ke atas pasangan KB Bandar Utama Dragons, Chooi Kah Ming/ Chow Pak Chuu.

Pasangan beregu campuran KB Bandar Utama Dragons, Cheah Yee See/ Hoo Pang Ron kembali mengukuhkan pasukannya apabila mengatasi pemain KB Klang City, Chow Mei Kuan/ Tan Kian Meng 10-11, 11-8, 11-5, 11-6 (3-1) sekaligus meletakkan skuadnya selesa mendahului 10-5 secara keseluruhan.

Dalam kategori terakhir perseorangan lelaki, pemain import KB Bandar Utama Dragons dari Hong Kong, Wei Nan melengkapkan kemenangan pasukannya apabila menumpaskan Tai An Khang 11-3, 11-5, 11-9 (3-0).

Dalam pada itu, pada aksi sebelah petang tadi KB Muar semakin menghampiri peringkat kalah mati apabila membenam KB Petaling Jaya juga dengan keputusan 13-5 di venue yang sama.

Selepas Cyberjaya, baki saingan peringkat liga round robin SSPL sedang berlangsung di Stadium Badminton Cheras dari 2 hingga 8 Januari. Seterusnya peringkat kalah mati enam pasukan terbaik liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands. Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.

Keputusan SSPL 2016/17 (3 Januari 2017)

(8pm) KB Klang City kalah kepada KB BU Dragons 5-13
MS2: Leong Jun Hao kalah kepada Goh Soon Huat 1-3 (8-11, 4-11, 11-7, 6-11)
WS: Nanna Alexandra Vainio kalah kepada Goh Jin Wei 0-3 (1-11, 4-11, 5-11)
MD: Low Hang Yee-Muhd Umar Al-Qhatab kalahkan Chooi Kah Ming-Chow Pak Chuu 3-1 (11-9, 4-11, 11-10, 11-9)
XD: Cheah Yee See-Hoo Pang Ron kalah kepada Chow Mei Kuan-Tan Kian Meng 1-3 (11-10, 8-11, 5-11, 6-11)
MS1: Tai An Khang kalah kepada Wei Nan 0-3 (3-11, 5-11, 9-11)

(4pm) KB Petaling Jaya kalah kepada KB Muar 5-13
MS2: Goh Giap Chin kalah kepada Zulfadli Zulkiffli 0-3 (9-11, 6-11, 6-11)
WS: Sarita Suwannakitborihan kalah kepada Saena Kawakami 1-3 (9-11, 7-11, 11-10, 3-4)
MD: Koo Kien Keat-Or Chin Chung kalah kepada Teo Ee Yi-Teo Kok Siang 1-3 (10-11, 11-8, 6-11, 6-11)
XD: Tang Chun Man-Woon Khe Wei kalahkan Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung 3-1 (11-8, 8-11, 11-10, 10-8)
MS1: Khosit Phetpradab kalah kepada Lee Hyun Il 0-3 (9-11, 7-11, 6-11)?