Sapura tekad sekat KLHC

By September 22, 2016 October 6th, 2016 Blog, Newsroom

Kuala Lumpur (22 September 2016): Sapura tidak mahu memberi ruang kepada Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk bangkit semula pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB esok sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke pentas final.

Skuad bimbingan Yahya Atan itu dilihat mempunyai kelebihan untuk mara ke final selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas KLHC pada aksi separuh akhir pertama Rabu lalu.

Namun kapten pasukan Muhammad Marhan Jalil berpendapat KLHC bukanlah lawan yang mudah dan tidak mustahil untuk lawan bangkit pada separuh akhir kedua sekali gus merampas kemenangan daripada mereka.

“Kelebihan dua jaringan bagi saya masih belum cukup sebab KLHC mungkin masih belum menemui rentak terbaik mereka.

“Pada perlawanan pertama, mereka mempunyai banyak peluang menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti tetapi barisan pertahanan kami juga melakukan tugas dengan cemerlang. “Itulah antara kunci kejayaan kami mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas KLHC,” katanya.

Jelas Marhan, dia serta rakan sepasukan lain akan mengikut segala arahan jurulatih dalam usaha mereka untuk terus mempertahankan kelebihan jaringan separuh akhir pertama.

“Jika jurulatih bersetuju dengan corak taktikal menekan seperti pada separuh akhir pertama, kami akan teruskan.”Kami tidak mahu lawan menguasai perlawanan dan menyebabkan kami terpaksa beraksi dengan corak bertahan.

“Sebab kelebihan dua jaringan bukanlah satu jurang yang besar dan tidak mustahil untuk lawan bangkit semula,” katanya.

Satu lagi aksi separuh akhir menyaksikan Terengganu Hockey Team (THT) bertemu Maybank.

Namun di atas kertas, THT dilihat hanya selangkah untuk mara ke final selepas mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas Maybank pada aksi separuh akhir pertama.

Namun ketua jurulatih Maybank Shaiful Azli Abd Rahman engggan berputus asa, sebaliknya berpendapat tidak mustahil untuk anak buahnya melakukan kejutan.

“Tidak dinafikan THT adalah pasukan lebih baik berbanding kami. Tapi masih ada satu lagi perlawanan dan segala-galanya belum berakhir,” katanya.

Piala TNB
Separuh akhir kedua (23 September 2016)

KLHC lwn Sapura, 6 ptg
(agregat 1-3)

Maybank lwn THT, 8 mlm
(agregat 1-6)

Stadium KLHA