Impian besar TNB

By September 11, 2016 October 6th, 2016 Blog, Newsroom

Kuala Lumpur (11 September 2016): Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai misi besar untuk menewaskan Sapura pada aksi final Piala Tan Sri P Alagendra, Selasa ini sekaligus sekurang-kurangnya mampu menjulang satu piala pada musim ini.

Dengan tiada sebarang harapan lagi di saingan Liga Premier apabila terperosok di kelompok bawahan liga, hanya Piala Tan Sri P Alagendra saja menjadi satu-satunya harapan mereka untuk mengecapi kejuaraan.

Malah, ketua jurulatih Muhamad Amin Rahim mengakui perkara itu dan mahu barisan pemainnya menumpukan sepenuhnya kepada aksi final nanti.

“Tiada apa lagi yang perlu kami ‘kejar’ pada saingan liga kerana memang sudah tiada peluang untuk menang.

“Sebab itu saya minta barisan pemain saya memberikan fokus sepenuhnya kepada saingan kalah mati ini.

“Dengan persembahan cemerlang yang dipamerkan mereka ketika menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) selaku pasukan pilihan di separuh akhir, saya yakin kami mampu menewaskan mana-mana lawan selepas ini,” katanya.

Jelas Amin, tewas dua perlawanan pada saingan liga kepada Sapura, kedua-duanya dengan keputusan 1-2, dilihat sebagai nasib tidak memihak kepada barisan pemainnya.

“Saya rasa ketika itu tuah lebih memihak kepada mereka kerana kami bukan tewas dengan jumlah jaringan yang besar.

“Saya harap dengan pencapaian mara ke pentas akhir ini, barisan pemain dapat buktikan kepada Sapura bahawa kami juga mampu menewaskan mereka,” katanya.

Sementara itu, tonggak muda Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan THT pada aksi separuh akhir, tekad mahu meneruskan rentak cemerlang itu dengan cuba membantu TNB muncul juara.

“Kami memang rasa kurang puas hati apabila tewas dua perlawanan kepada Sapura pada saingan liga sebab menjangkakan mampu memenangi kedua-dua perlawanan itu.

“Apapun, kami akan mengikut segala perancangan jurulatih pada aksi final nanti,” katanya.

Piala Tan Sri P Alagendra
Final (13 September 2016)
Sapura lwn TNB, 8 mlm
(Stadium Tun Razak)