KLHC, Sapura terus buru tiga mata

By September 3, 2016 October 6th, 2016 Blog, Newsroom

Kuala Lumpur (3 September 2016): Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) diharap dapat terus mempamerkan aksi konsisten pada pusingan kedua Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia, bertemu Maybank esok dalam usaha mereka untuk menjulang gelaran liga.

Pengurus pasukan Ahmad Anuar Sham Kamar berkata, selepas lima perlawanan, mereka masih dalam landasan tepat untuk memenuhi sasaran itu meskipun sedikit terjejas kerana mencicirkan mata berikutan seri dua perlawanan.

KLHC ketika ini menduduki tangga kedua liga dengan meraih 11 mata, ketinggalan hanya satu mata berbanding Sapura selaku pendahulu liga.

“Selepas dapat meraih tiga mata apabila bertemu Maybank semalam, sudah tentu kami juga berharap barisan pemain dapat meneruskan rentak kemenangan ini bertemu lawan sama esok.

“Malah, saya juga berharap prestasi konsisten ini akan berterusan sehingga ke akhir liga,” katanya.

Jelas Ahmad, tiga pasukan teratas iaitu Sapura, KLHC serta Terengganu Hockey Team (THT) tidak berada pada kedudukan selesa dan kedudukan itu boleh berubah jika pasukan tidak konsisten.

“Sebab itu saya amat berharap kami dapat meraih tiga mata pada setiap perlawanan yang dihadapi selepas ini.

“Jika ia berlaku, maka peluang untuk memenangi liga lebih cerah,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Sapura Yahya Atan juga mahu barisan pemainnya cuba mengekalkan kedudukan teratas liga menjelang perlawanan bertemu TNB esok.

“Walaupun di pusingan pertama liga kami nampak selesa tetapi perlu diingat, pasukan lain pasti akan mengejar dan cuba memperbaiki kedudukan apabila bermulanya pusingan kedua liga.

“Seperti pasukan lain, kami juga tidak mahu mencicirkan sebarang mata,” katanya.
Liga Premier
Esok (4 September 2016)

KLHC lwn Maybank, 6 ptg
(Stadium Hoki Pantai)

UniKL lwn THT, 8 mlm
(Stadium Hoki Pantai)

Sapura lwn TNB, 6 ptg
(Stadium Tun Razak)