UniKL, TNB lakar kejutan

By August 26, 2016 August 30th, 2016 Blog, Newsroom

Kuala Lumpur (26 Ogos 2016): Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mencipta kejutan apabila berjaya mengikat Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 1-1 pada aksi Liga Premier, TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Pantai, hari ini.

Keputusan positif itu nyata menggembirakan ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj kerana anak buahnya dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menang 1-0 ke atas TNB di saingan liga dan keputusan sama ketika menewaskan Maybank pada aksi kalah mati bagi merebut Piala Tan Sri P Alagendra.

KLHC's Harvinder Singh (left) challenges UniKL's Patrick Neil Schultz for the ball during their TNBMHL 2016 Premier League match at the Kuala Lumpur Hockey Stadium today.

KLHC’s Harvinder Singh (left) challenges UniKL’s Patrick Neil Schultz for the ball during their TNBMHL 2016 Premier League match at the Kuala Lumpur Hockey Stadium today.

“Apa yang saya boleh katakan ialah semua barisan pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila turun pada perlawanan hari ini.

“Kami berjaya memberi tekanan dan menghadkan pergerakan barisan pemain lawan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Jelas Arul, satu mata yang diperolehi itu adalah kejayaan besar untuk UniKL kerana KLHC seperti diketahui bukanlah lawan mudah.

“Sudah tentu satu keputusan yang amat positif. Bagi saya satu mata yang dimenangi hari ini adalah bonus untuk kami,” katanya.

KLHC bermula baik apabila di depan seawal minit ke-3 menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan pemain import Nam Hyunwoo.

Tersentak dengan jaringan awal itu, UniKL menggandakan asakan dan akhirnya mereka berjaya memperoleh gol penyamaan hasil pukulan sudut penalti Muhammad Toseeq Muhammad Arshad minit ke-51.

Sementara itu, Terengganu Hockey Team (THT) terpaksa berhempas pulas sebelum sekadar meraih keputusan seri 4-4 ketika bertemu TNB.

“Setiap pemain mengikut strategi yang dirancang. Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami bukan nak kejar kemenangan.

“Sebaliknya kami mahu memberi saingan yang hebat kepada THT kerana mereka mempunyai barisan pemain hebat.

“Apa yang barisan pemain tunjukkan hari ini sudah cukup bagus,” kata ketua jurulatih TNB Muhamad Amin Rahim.

Tengku Ahmad Tajuddin meletakkan THT di depan seawal minit pertama tetapi Syed Mohamad Syafiq berjaya menyamakan kedudukan seminit selepas itu menerusi jaringan padang.

Norhizzat Sumantri meletakkan TNB di depan hasil jaringan padang minit ke-24 sebelum Tengku kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti tiga minit selepas itu.

Perlawanan semakin sengit apabila pada minit ke-29, Muhammad Hafizhuddin kembali meletakkan TNB di depan.

Tonggak import THT dari Pakistan, Muhmmad Irfan Aslam berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti minit ke-31.

Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan meletakkan TNB di depan pada minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti tetapi Nicolas Enrique Della Torre menjaringkan gol padang menarik minit ke-57 untuk menjadikan kedudukan kembali terikat 4-4.

Satu lagi perlawanan perlawanan di Stadium Hoki Bukit Serindit, Sapura menewaskan Maybank 2-1.
Liga Premier
Keputusan hari ini
UniKL 1 KLHC 1
TNB 4 THT 4
Sapura 2 Maybank 1