Panel Pemantau PSM cari lebih ramai pemain berkualiti di STL Kedah

By November 20, 2014 Newsroom

ALOR SETAR (20 NOVEMBER 2014):  Selepas dua pusingan pembukaan yang menutup tirai dengan jayanya di Kuala Terengganu hujung minggu lalu, saingan SepakTakraw League (STL) 2014/2015 akan beralih pula ke zon utara dengan Kedah menjadi tuan rumah bagi pusingan ketiga dan keempat yang akan berlangsung pada dua hujung minggu seterusnya – 22, 23, 29 dan 30 November. 

Menurut Venu Ramadass, Ketua Pegawai Operasi Asia Sports Ventures, organisasi yang bertanggungjawab untuk pelaksanaan STL menerusi kerjasama erat bersama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), matlamat utama untuk merevolusikan secara besar-besaran arena takraw tempatan, menyemarakkan minat serta mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi mewarnai arena sukan tradisi Malaysia ini, kini berada di landasan tepat untuk direalisasikan.

“Kita telah melihat sendiri bagaimana sambutan yang diterima bagi dua pusingan awal di Terengganu. Ternyata, minat terhadap sukan ini belum pudar dan menerusi STL ini, saya diberitahu panel pemantau dari PSM telah menyenarai pendek lebih 50 bakat-bakat yang berpotensi untuk pergi jauh dan kita berharap lebih ramai lagi dapat kita kesan sewaktu STL ini menjelajah ke Kedah, Melaka dan Johor.

“Ramai yang mungkin tidak tahu, STL bukan semata-mata untuk mereka datang bertanding dan menang hadiah tetapi lebih dari itu mungkin mereka adalah masa depan sukan takraw tanah air yang kita cari. Tidak kira apa latar belakang mereka sama ada mereka pemain akademi, pelapis, negeri, atau sekadar membentuk regu bersama kawan-kawan untuk masuk bertanding, jika mereka ada potensi maka mereka akan berada dalam perhatian panel pemantau ini,” tambahnya.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Jamaluddin Hassan yang mengetuai sekumpulan 12 orang panel pemantau untuk mencari bakat-bakat yang menyerlah di STL bagi diserap ke dalam draf Liga Franchise 2015 menjelaskan selepas tamat dua pusingan, barisan panel telahpun menyenarai pendek seramai 57 pemain yang menyerlah di Kuala Terengganu.

“Ada beberapa kriteria yang kita nilai sebelum meletakkan mereka dalam senarai pendek. Penilaian lebih kepada teknik asas yang perlu bagi seseorang pemain takraw, ketinggian, tahap kecergasan dan paling penting ketangkasan pergerakan. Jika ada pengalaman sebagai pemain di peringkat pelapis atau negeri mungkin ianya sedikit memainkan peranan.

“Jika tidak tersenarai kali ini, mereka boleh terus mencuba pada pusingan yang lain kerana ada pemain yang mungkin tidak menyerlah pada satu pusingan, tetapi bermain lebih bagus pada pusingan yang lain. Di Terengganu contohnya, lebih ramai pemain yang menyerlah pada pusingan kedua berbanding pusingan pertama kerana mungkin mereka masih belum faham sepenuhnya tentang STL, pasukan juga lebih berkualiti dan kita jangkakan di Kedah selepas ini ada lebih ramai pemain berkualiti,” katanya.

Jamaluddin juga mengesa penglibatan dari pasukan-pasukan negeri untuk mengetengahkan pemain-pemain mereka pada pusingan-pusingan yang berikutnya.

“Tamat dua pusingan tiada satu pun pasukan negeri menghantar regu untuk ambil bahagian. Kebanyakan pemain negeri bermain mewakili kelab jadi kita juga berharap mereka ambil serius STL yang menyediakan ruang pendedahan cukup besar bagi pemain-pemain negeri menyerlahkan bakat dan kualiti.”

Dua pusingan pembukaan di Stadium Tertutup Negeri Kuala Terengganu baru-baru ini menyaksikan Mazatech ‘A’ dan ATM ‘F’ muncul juara dan melayakkan diri untuk beraksi di Pusingan Grand Finals pada Januari depan. Manakala empat regu ATM iaitu ATM ‘A’, ATM ‘D’, ATM ‘C’ dan ATM ‘E’ kesemuanya layak beraksi di pusingan play off.

Selepas Kedah, STL akan menjelajah pula ke Johor dan Melaka sebelum berlangsungnya pusingan play off bagi melengkapkan jumlah pasukan yang bertanding di pusingan Grand Finals pada 17 dan 18 Januari 2015 di Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

 

JADUAL:

Kedah – (Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar; 22-23 Nov & 29-30 Nov).

Johor – (Stadium Tertutup Pasir Gudang; 13-14 Dis & 20-21 Dis).

Melaka – (Stadium Majlis Perbandaran Melaka, Bukit Seringit; 27-28 Dis, 2014 & 3-4 Jan, 2015).

 

Grand Final – (Stadium Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur; 10-11 Jan & 17-18 Jan, 2015).


Dikeluarkan oleh Shekhinah PR bagi pihak Asia Sports Ventures.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:


Christopher Raj

chris@shekhinah.my

012 – 2161881

Leave a Reply