SARAWAK SILAT CONTINGENT CONTINUES TO SHINE IN SPISC 2023
March 1, 2023SRIKANDI SARAWAK SEMAKIN GAGAH, PESILAT NEGARA MULA MENGORAK LANGKAH
March 2, 2023KUCHING (1 MAC): Sarawak mula menunjukkan kebangkitan selepas beberapa pesilatnya meraih kemenangan pada saingan hari kedua kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 di Stadium Perpaduan Petra Jaya, hari ini.
Josh Chua, Shahamierul Shelby Mohamad Maiden dan Suhaiqal Suhardie adalah antara wira kontinjen Bumi Kenyalang itu yang telah melepasi halangan pada saingan suku akhir dalam kategori masing-masing.
Josh Chua yang turun membawa cabaran Sarawak dalam kategori Putra C junior, tampil tangkas menguasai pertarungan dengan mempelbagaikan gaya serangan mengelirukan lawannya dari Pahang, Mohamad Mirza Danish Abdullah.
Turun beraksi di hadapan penyokong sendiri turut memainkan peranan untuk meningkatkan keyakinan dirinya, sekali gus merealisasikan impiannya melepasi halangan di peringkat suku akhir.
Josh Chua menang mudah pertarungan tersebut apabila menewaskan lawannya dengan pungutan mata 72-18.
Seorang lagi rakan sepasukannya, Shahameirul Shelby yang beraksi dalam kategori Tunggal Putra turut mencatat nama sebagai pemenang meskipun mencatat jumlah markah yang sama iaitu 9.9 mata dengan lawannya, Mohd Hearri Chieng Mohd Firdaus Cheng yang mewakili skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Turut menceriakan kem tuan rumah hari ini adalah Suhaiqal Suhardie yang menggalas cabaran dalam kategori Tunggal Baku Putra. Acara tersebut yang terus memasuki peringkat suku akhir hari ini menyaksikan Suhaiqal meraih 9.885 mata berbanding lawannya, Dapa Riki Ananda dari Indonesia yang menamatkan pertarungan tersebut dengan mengumpul 9.850 mata.
Ia kemenangan yang sangat bermakna buat pesilat Sarawak itu kerana dia berjaya mengatasi ancaman daripada lawannya yang lebih berpengalaman itu.
Selain kebangkitan yang dipamerkan oleh pesilat Sarawak, turut mencuri tumpuan hari ini adalah rentak yang diperagakan oleh jaguh dari Amerika Syarikat, Omar Daken.
Menariknya, pesilat ini beraksi dalam dua acara peringkat suku akhir iaitu kategori Tunggal Putra Baku dan kategori Putra C junior. Dia hanya memiliki masa rehat yang agak singkat untuk meneruskan acara kedua yang yang disertainya dan akibatnya, dia tewas dalam kedua dua acara kegemarannya.
Dalam pertarungan kategori Tunggal Putra Baku, Omar Daken tunduk kepada pesilat Singapura, Raif Muhd Syariz Muhd Rizal manakala dalam kategori Putra C junior, impiannya dileburkan oleh jaguh Indonesia, Dapa Riki Ananda.
Ketika pertarungan menjadi semakin sengit di semua gelanggang, cerita menarik berlaku di gelanggang Arena 2. Gara-gara gagal mengawal emosi terhadap keputusan para juri, pesilat Singapura, Abdul Raaif Abdul Rashid menerima padah meskipun dia dilihat sebagai pilihan untuk menang pertarungan bagi kategori Putra C junior.
Lawannya, Asadov Ismoil dari Uzbekistan dihadiahkan kemenangan walaupun sepanjang pertarungan tersebut Asadov dilihat lebih banyak bertahan daripada menyerang lawannya.
Pesilat Terengganu turut tampil cemerlang pada saingan hari kedua hari ini yang menyaksikan Mohd Rafiqi Nazri berjaya melangkah ke separuh akhir selepas mengatasi cabaran pesilat Uzbekistan, Azizjonov Abduquddus dalam kategori Putra D junior.
Rafiqi menang pertarungan tersebut selepas memungut 22 mata berbanding Azizjonov yang sekadar menamatkan saingan tersebut dengan mengumpul 6 mata.
Pesilat Brunei Darussalam, Muhammad Ali Saifullah Muhd Suhaimi sangat bernasib baik hari ini selepas melepasi halangan pertama dalam kategori Putra Tunggal Baku apabila menang tipis dengan kelebihan satu mata ke atas Muhammad Ridhwan Ahmad Jani.
Pesilat Melaka, Muhammad Amirul Hakim Jaafar mudah melepasi halangan di peringkat suku akhir kategori Putra C junior selepas mencatatkan kemenangan 55-30 ke atas lawannya dari Terengganu, Muhd Faris Iqbal Zamzuri.
Selepas dua hari bertarung, perjalanan kejuaraan ini terus berjalan lancar dan para pesilat pula semakin meningkatkan momentum persembahan masing-masing dalam misi untuk memburu kejayaan buat kontinjen mereka.
Corak persembahan yang dipamerkan semua atlet yang bertanding juga semakin menunjukkan peningkatan dan ini bakal membawa aura positif buat sukan silat di rantau ini.
Kejuaraan ini yang pertama seumpamanya dihoskan oleh Sarawak berjaya menarik penyertaan lebih 500 pesilat termasuk dari Amerika Syarikat, Thailand, Filipina, Singapura, Kygryzstan dan juga Uzbekistan.