
Teams going all out for SSPL 2018/19 Final Rounds
January 21, 2019
Kepong BC Ketepikan Serdang BC Untuk ke Separuh Akhir SSPL 2018/19
January 24, 2019
Kemaraan pasukan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), PKS-Uniten dan Liaoning Infinite Space Hc (LISHC) dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2019 semakin sukar di sangkal apabila ketiga-tiga pasukan yang turun bertemu lawan masing-masing pada aksi hari ini terus mencatatkan kemenangan sekaligus menambah kutipan mata bagi kedudukan liga.TLHT yang turun membuat perhitungan dengan KL Wipers di Stadium Hoki Jalan Pantai, Kuala Lumpur tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan kelima kali ini dengan keputusan 6-0 sementara dua aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menyaksikan LISHC menewaskan PSHA-MSSPP 3-0 dan PKS-Uniten mengetepikan cabaran Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) 5-0.
TLHT yang telah mengumpul 15 mata serta masih kebal dengan rekod tanpa kalah membuka tirai jaringan pada minit keenam selepas kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani menyempurnakan pukulan sudut penalti dan tiga minit sebelum aksi suku pertama berakhir, Jaspreet Kaur menambah gol kedua TLHT menerusi kelebihan pukulan stroke yang diterima.
Nur Syuhada Suhaimi terus melebarkan sayap kedudukan TLHT pada minit ke-19 menerusi gol padang sebelum kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki disudahkan dengan sempurna oleh Fatin Shafika Mahd Sukri pada minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 4-0.
Dua lagi gol terus diledak TLHT kali ini pada minit ke-42 dan 45 masing-masing hasil jaringan Jaswinder Kaur dan jaringan kedua peribadi Nur Syuhada Suhaimi yang sekaligus memutlakkan kemenangan 6-0 TLHT yang juga merupakan kemenangan kelima berturut-turut mereka dalam aksi liga.
Dalam pada itu aksi yang menemukan PKS-Uniten dan SSTMI menyaksikan penyerang sensasi negara, Hanis Nadiah Onn meledak hatrik menerusi jaringan padang ketika membantu PKS-Uniten mencatat kemenangan 5-0 bertemu SSTMI.
Lima gol yang berjaya dihasilkan PKS-Uniten hari ini bermula dengn jaringan padang yang disumbangkan oleh Nur Zafirah Aziz pada minit kedua sebelum Hanis memastikan PKS-Uniten terus berada di hadapan pada minit ke-19.
Hanis terus meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-41 dan menjaringkan hatrik pada minit ke-55 menerusi jaringan padang sebelum Nurliyana Md Kip melengkapkan jaringan kelima PKS-Uniten menerusi pukulan sudut penalti pada minti ke-56.
Kemenangan yang diraih PKS-Uniten hari ini juga sekaligus menyaksikan mereka kini berada di kedudukan kedua liga dengan kelebihan jaringan sambil mengumpul 12 mata bersama LISHC yang di kedudukan ketiga.
Sementara LISHC yang turun bertemu PSHA-MSSPP meledak tiga gol menerusi dua pukulan sudut penalti dan satu jaringan padang bermula dengan gol pukulan sudut penalti pada minit ke-23 yang dijaringkan Li Feng, diikuti gol padang Liu Xinyu pada minit ke-26 dan beberapa saat sebelum wisel dibunyikan, jaringan ketiga LISHC terhasil apabila kelebihan pukulan sudut penalti tidak dipersiakan oleh Sun Yuyuan yang sekaligus menyaksikan perlawanan tamat dengan kemenangan 3-0 buat LISHC.
Aksi liga wanita akan terus bersambung pada Khamis 24 Januari 2019 di mana pada jam 5.00 petang bertempat di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, PDRM-Blue Warriors akan bertemu LISHC sementara TLHT akan melayani kunjungan PKS-Uniten di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu dan PSHA-MSSPP akan bertemu KL Wipers di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.