Gallant display from Yew Sin-Ee Yi bodes well for the future
January 20, 2019Pasukan Congak Strategi Menjelang Pusingan Akhir SSPL 2018/19
January 21, 2019KUALA LUMPUR (20 JANUARI 2019) : Turun selaku pasukan pilihan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak berdepan masalah untuk menundukkan TNB Thunderbolts 7-1 pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia (Liga Perdana) 2019 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini dan Kelab Hoki Terengganu (THT) di paksa bermandi peluh sebelum berjaya menewaskan Maybank 4-3 pada aksi di stadium yang sama.
Selain aksi TNB bertemu TNB Thunderbolts dan Maybank menentang THT, satu lagi saingan yang turut berlangsung hari ini adalah pertemuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Nurinsafi/Kedah Hockey di mana skuad pelawat berjaya mengejutkan tuan rumah, UiTM 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki UiTM.
TNB yang telah menamatkan empat perlawanan menjadi pasukan terbanyak menjaringkan gol setakat ini dengan 22 gol sementara bolos lima dan pada saingan hari ini, TNB meledak gol pertama mereka pada minit kelapan apabila aksi kelam kabut di hadapan gawang TNB Thunderbolts berjaya dimanafaatkan Muhammad Noor Firdaus Rosdi.
Berselang empat minit kemudian Firdaus Rosdi sekali lagi mencetak nama sekalu penjaring sekaligus menyaksikan TNB selesa di hadapan 2-0 pada suku pertama.
Kemaraan TNB pada suku kedua nyata sukar untuk disekat TNB Thunderbolts apabila skuad “abang” berjaya untuk menambah dua lagi jaringan padang pada minit ke-21 dan 23 masing-masing menerusi Firhan Ashaari dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.
Dua minit selepas aksi suku ketiga bersambung TNB terus ghairah memburu jaringan dan kesilapan penjaga gol Thunderbolts, Mohamad Hairi Abdul Rahman ketika cuba untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya digunakan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi yang berada di belakangnya dengan sebaiknya untuk menjaringkan gol kelima TNB.
Ketinggalan lima gol nyata tidak mematahkan semangat skuad bimbingan Nor Azlan Bakar apabila usaha mereka untuk menggandakan asakan membuahkan hasil selepas Muhammad Syazwan Syafiq Basir berjaya menembusi gawang yang dikawal Che Shahrul Azmi Che Saupi untuk kedudukan berubah 1-5.
Bagaikan masih belum puas dengan lima gol yang telah dijaringkan, TNB menambah dua lagi gol pada suku terakhir perlawanan kali ini satu menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-56 apabila Firhan Ashaari melakukan flik mencari sudut atas sebelah kiri pintu gol untuk menewaskan Hairi Rahman dan berselang seminit kemudian Nik Aiman menjaringkan gol kedua peribadinya yang sekaligus menutup aksi dengan kemenangan 7-1 berpihak kepada TNB.
Dalam pada itu pertemuan Maybank dan THT menyaksikan satu persaingan sengit ditampilkan oleh Maybank dan THT apabila aksi di separuh masa pertama tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2 di mana bermula dengan Maybank menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi Mohamad Zulhamizan Awang Abas, THT bangkit mengejar tiga minit kemudian juga menerusi gol padang yang dijaringkan Muhammad Sufi Ismat.
Seminit sebelum suku pertama berakhir Maybank kembali di hadapan apabila tindakan susulan Hafifihafiz Hanafi daripada pukulan sudut penalti membolosi gawang THT dan THT berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-24 juga menerusi pukulan sudut penalti yang cemerlang disempurnakan import Korea mereka, Jang Jonghyun.
Kejar mengejar kedudukan terus berlaku di separuh masa kedua apabila Maybank kembali di depan pada minit ke-43 hasil jaringan Muhamad Nazrey Din, THT terus bangkit lima minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti yang sekali lagi disempurnakan Jang Jonghyun dan gol hatrik Jang beberapa saat sebelum wisel penamat dibunyikan menghadiahkan kemenangan buat THT apabila dia menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti.
Terdahulu aksi yang berlangsung jam 5.00 petang di Stadium Hoki UITM, Shah Alam menyaksikan Nurinsafi/Kedah Hockey berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan liga apabila menewaskan tuan rumah, UITM 2-0 menerusi jaringan padang Ismail Abu dan Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi masing-masing pada minit ke-26 dan 51.