PKS Uniten- KPT Jumpa Blue Warriors di Final Piala Vivian May Soars 2018
February 28, 2018PSAS 2018: Malaysia Buka Kempen Dengan Cemerlang Benam Ireland 4-1
March 3, 2018KUALA LUMPUR (2 MAC 2018): Pasukan Blue Warriors berjaya menjuarai Piala Vivian May Soars apabila menang dalam penentuan penalti shoot-out setelah mereka terikat seri 2-2 dalam masa penuh perlawanan ketika menentang PKS Uniten- KPT di Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tadi.Seperti dijangka, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi sengit untuk memburu gol pendahuluan. Apapun, PKS Uniten- KPT berjaya berada di depan 1-0 menerusi penyudah Raja Norsharina Raja Shabuddin hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-7.
Kedudukan 1-0 memihak PKS Uniten- KPT itu kekal hingga separuh masa pertama perlawanan tamat.
PKS Uniten- KPT semakin selesa apabila mereka memperoleh satu lagi gol pada penghujung suku ketiga perlawanan hasil pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Fatin Shafika Mohd Shukri pada minit ke-44 untuk pasukan itu 2-0 di depan.
Di suku terakhir perlawanan, Blue Warriors terus menggandakan usaha mereka untuk mencari gol sulung dan usaha mereka berhasil pada minit ke-56 menerusi gol padang kencang oleh Ritu Rani.
Gol itu nyata memberikan semangat kepada Blue Warriors untuk terus menggasak pada minit akhir perlawanan. Ketika perlawanan dilihat memihak PKS Uniten- KPT, Blue Warriors memperoleh gol penyamaan 2-2 melalui gol Siti Zulaikha Hussain pada minit ke-59 sekaligus mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.
Penalti shoot-out menjadi milik Blue Warriors dengan keputusan 3-1. Gol kemenangan penalti shoou-out mereka dijaringkan oleh Narinder Kaur, Ritu Rani dan Nadia Abdul Rahman. Sementara, gol tunggal PKS Uniten- KPT dalam penalti shoot-out dijaringkan Wan Norfaiezah Md Saiuti.
Jurulatih Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin berkata, “Saya bersyukur kerana sudah tiga tahun berturut-turut berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Vivian May Soars. Saya sudah beritahu kepada pemain bahawa saya hanya memberikan perancangan selaku jurulatih, tetapi yang menentukan keputusan ialah pemain yang beraksi di atas padang.
“Saya bercakap kepada mereka, kita perlu menekan pada suku akhir perlawanan setelah pada awalnya tidak menjadi. Pemain lawan sudah nampak lemah dan alhamdulilah kita berjaya mendapatkan gol. Apabila pergi ke penalti shoot-out, saya memiliki penjaga gol hoki wanita terbaik Asia. Saya berbangga dengan pemain saya atas semangat yang mereka tunjukkan tadi,”katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 di sebelah petang tadi, juara bertahan, Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) mengubati luka gagal ke final dengan mencatatkan kemenangan 10-0 ke atas KL Wipers.
TLHT berjaya memperoleh empat gol pada separuh masa pertama menerusi pukulan su dut penalti Siti Rahmah Othman pada minit ke-3 dan gol kedua hadir melalui jaringan padang Fazillah Sylvester Silin dua minit kemudian.
Dua lagi gol TLHT disumbangkan oleh gol padang menerusi Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail pada minit ke-21 dan gol keempat dijaringkan oleh Siti Noor Amarina Ruhani melalui penalti stroke pada minit ke-30 untuk menamatkan separuh masa pertama dengan TLHT di depan 4-0.
Di separuh masa kedua, TLHT memperoleh lagi enam gol. Ia masing-masing disumbangkan oleh Norazlin Sumantri menerusi dua pukulan sudut penalti (minit ke- 33 dan minit ke-34), gol padang Pahila Judith Larissa (minit ke-50), pukulan sudut penalti Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail (minit ke-58), gol padang Nur Syuhada Suhaimi (minit ke-59) dan gol padang Nur Syafiqah Mohd Zain (minit ke-60).
Keputusan Piala Vivian May Soars 2018:
Final:
PKS Uniten- KPT 2-2 Blue Warriors (Blue Warriors menang penalti shoot-out 3-1)
Penentuan ¾:
KL Wipers 0-10 Terengganu Ladies Hockey Team
Pemain Terbaik Perlawanan:
Fatin Shafika Mohd Shukri