TNB terlepas peluang
February 5, 2017SSPL: Finding the Right Balance Key to Petaling BC’s Title Hopes
February 6, 2017KUALA LUMPUR (6 Februari, 2017): Kelab Badminton (KB) Petaling bimbingan Yap Kim Hock semakin yakin untuk mara lebih jauh dalam saingan kalah mati SS Purple League (SSPL) apabila kemasukan pemain baru menjadikan skuad itu lebih seimbang dalam setiap kategori.
Bagi mengharungi peringkat kalah mati nanti, Yap Kim Hock telah membawa masuk dua pemain dan salah seorangnya bagi memperkuatkan lagi kategori perseorangan wanita pasukannya.
Yap Kim Hock berkata, “Untuk mengharungi peringkat seterusnya SSPL, KB Petaling telah menambah lagi dua pemain untuk memperkuatkan pasukan. Kita telah mengikat pemain dari Indonesia, Ricky Widianto dan bekas pemain wanita nombor satu dunia, Wang Yihan.
“Jadi dengan penambahan dua pemain itu, saya yakin pasukan akan lebih kuat terutamanya dalam perseorangan wanita. Yihan juga boleh bermain dalam beregu jadi ia memberi lebih banyak pilihan strategi untuk KB Petaling nanti,” kata Kim Hock.
Ketua jurulatih itu turut lega apabila hampir semua pemainnya dapat ke Genting Highlands sekaligus mencerahkan lagi peluang pasukannya untuk mara ke final.
Dia berkata, “Selain mereka (pemain baru), keseluruhan pemain utama seperti Kenichi Tagi, Zhao Yunlei juga akan bersama kita di Genting Highlands nanti.
Pasukan KB Petaling kini sedang giat menjalani latihan bagi meningkatkan lagi persefahaman pemain pasukan itu dalam pusingan kalah mati nanti.
Tambah Kim Hock, “Kita sedang giat mempersiapkan pasukan, dengan kekuatan seimbang yang kita ada untuk setiap kategori, saya rasa kita dapat mengatasi KB Petaling Jaya nanti sekaligus melangkah ke separuh akhir SSPL kali ini.
“Bertemu KB Petaling Jaya, mereka juga membawa masuk pemain baru dan sudah pasti mereka juga ada kekuatan sendiri. Begitu juga pasukan lain seperti KB Muar yang mendapat khidmat pemain beregu lelaki yang pernah meraih emas olimpik dari Korea Selatan, Lee Yong Dae yang pasti memberikan mereka kelebihan tapi kita tetap akan berikan aksi terbaik nanti,” ujar pengendali berusia 47 tahun itu lagi.
Apapun, persediaan pasukan KB Petaling sedikit terjejas apabila pemain utama mereka, Datuk Wira Lee Chong Wei mengalami kecederaan. Chong Wei mengalami kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) semasa latihan bersama pasukan kebangsaan dan berkemungkinan besar bakal terlepas pusingan kalah mati SSPL 2016/17.
Enam pasukan di kedudukan teratas liga bakal beraksi dalam peringkat kalah mati yang berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Resorts World Genting bagi mencari juara SSPL musim ini. Pasukan bawahan liga pula akan berentap menentukan kedudukan ketujuh hingga sepuluh.