QNET title sponsor for Asian Champions Trophy 2016
October 4, 2016TNB, Genting and Waz Lian Group joins the fray
October 13, 2016KUALA LUMPUR (4 Oktober, 2016): Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengumumkan Syarikat Jualan Langsung Global, QNET sebagai penaja utama untuk kejohanan Trofi Juara-Juara Asia ( Lelaki) Ke-4 yang akan berlangsung dari 20-30 Oktober ini di Kuantan, Pahang.
QNET telah mengikat perjanjian tajaan berjumlah RM500,000 dan kejohanan itu akan dikenali sebagai “QNET Trofi Juara-Juara Asia Ke-4 2016”. Ini merupakan kali pertama kejohanan itu bakal mendapat tajaan utama selepas berlangsung sejak enam tahun lalu.
Trofi Juara-Juara Asia kali ini menampilkan enam pasukan terbaik dari Sukan Asia iaitu Pakistan, India, Malaysia, China, Jepun, dan Korea Selatan yang akan berlangsung dalam format round robin. Pakistan dan India adalah pasukan yang paling cemerlang dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia dengan Pakistan pernah membawa pulang kejuaraan pada tahun 2012 dan 2013. India pula merupakan juara sulung kejohanan pada tahun 2011. Sementara pasukan Malaysia pula menduduki tempat ketiga dalam tiga edisi lepas.
Trofi Juara-Juara Asia buat pertama kalinya dilangsungkan di Ordos, China pada 2011 diikuti Doha, Qatar pada 2012 sebelum dilangsungkan di Kakamigahara, Jepun pada tahun 2013 lalu.
Pengarah Komunikasi QNET, Encik Kuna Senathirajah berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AHF serta Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kerana memberikan peluang kepada kami untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan eklusif ini. Kami begitu berbangga dan merasakan ia adalah penghormatan untuk menjadi penaja utama Trofi Juara-Juara Asia”.
QNET yang merupakan peneraju utama syarikat jualan langsung global, setakat ini pernah bekerjasama dengan sukan-sukan terkemuka seperti Formula Satu dan juga bola sepak. Syarikat itu pernah bekerjasama dengan pasukan Marussia F1 Racing dan terkini syarikat ini adalah rakan jualan langsung rasmi kepada gergasi bola sepak England, Manchester City.
“Ianya adalah satu penghormatan untuk mempertontokan Trofi Juara-Juara Asia yang bertaraf dunia di hadapan peminat fanatik sukan ini di Malaysia serta satu penghormatan dapat bekerjasama rapat dengan Persekutuan Hoki Malaysia. Bagi kami, adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada salah satu acara paling berprestij di Asia. Di rantau ini, hoki dilihat sebagai sukan utama yang menyokong perpaduan dan persahabatan.
Oleh itu, kami merasakan kejohanan itu bukan sekadar pertandingan tetapi satu platform untuk membina hubungan yang kukuh antara negara-negara di rantau Asia. Kami bercita-cita untuk melakukan yang terbaik untuk menjadikan kejohanan ini satu kejayaan bersama-sama MHC.
Encik Kuna turut menyatakan bahawa QNET sudah tidak sabar menantikan kejohanan yang bakal mempertaruhkan kuasa-kuasa besar hoki Asia ini berlangsung. “Kami gembira dapat bekerjasama dengan MHC untuk menggalakkan lagi sukan hoki. Kita sedar bahawa sokongan daripada syarikat-syarikat adalah penting dan akan memudahkan lagi usaha untuk meningkatkan standard sukan hoki sekaligus mengembangkan lagi sukan ini kepada komuniti. Di masa hadapan, kami berharap lebih banyak syarikat akan membuka mata terhadap sukan termasuklah sukan hoki sebagai platform utama untuk menarik minat terhadap sesuatu jenama dan ekuiti, “kata Kuna.
Presiden MHC, Dato’ Seri Subahan Kamal berkata: “Kami sememangnya begitu berbangga mempunyai satu syarikat yang mempunyai reputasi tinggi seperti QNET untuk menjadi penaja Trofi Juara-Juara Asia buat pertama kali sejak ia dilangsungkan. Penglibatan syarikat korporat seperti QNET dalam sukan hoki adalah begitu bagus terhadap bidang sukan.”
Perlawanan pembukaan pada 20 Oktober ini bakal menyaksikan Malaysia akan menentang juara bertahan, Pakistan diikuti pasukan India yang bakal memulakan perhitungan menentang pasukan Jepun.