Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Razie Galas Tugas Selaku Kapten

By September 15, 2018Newsroom

Ketiadaan Kapten pasukan negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang diberikan rehat daripada menyertai Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 September ini di Stadium Hoki Marrara, Australia menyaksikan tugas selaku kapten akan digalas oleh seorang lagi pemain senior, Muhammad Razie Abdul Rahim.Pengalaman 12 tahun bersama pasukan kebangsaan pastinya akan membantu Razie yang kali terakhir memakai lilitan kapten ketika di Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2018 awal tahun ini.

Bagaimanapun cabaran untuk Razie pada kejohanan kali ini di mana dia perlu mengetuai pasukan yang rata-ratanya dibarisi oleh pemain muda.

Namun bagi Razie sendiri untuk mengemudi pasukan yang rata-rata dibarisi oleh pemain yang lebih muda bukan satu masalah untuk dirinya kerana dia mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap rakan-rakan lain seperti Faiz Helmi Jali dan Mohd Fitri Saari akan turut sama membantunya untuk mengerakkan pasukan mengikut acuan yang dimahukan oleh barisan kejurulatihan.

“Untuk menggalas tugas selaku ketua pasukan bagi kejohanan ini, pada saya ia bukan satu masalah kerana saya yakin Fitri dan Faiz Helmi pasti akan membantu saya untuk membimbing pemain-pemain lain mengikut apa yang barisan kejurulatihan mahukan.

“Cuma apa yang saya harapkan daripada pemain-pemain terutamanya yang lebih muda adalah mereka harus mempunyai tahap keyakinan yang cukup tinggi untuk beraksi di atas padang dan berikan persembahan terbaik yang mereka ada,” jelas Razie ketika ditemui.

Menerusi pengumuman yang telah dibuat oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), enam pemain yang tidak berksi ketika di Sukan Asia Jakarta-Palembang baru-baru ini iaitu Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Najib Abu Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Haziq Samsul dan Norsyafiq Sumantri telah dipanggil untuk menggalas cabaran di Darwin, Australia.

Bagi pertahanan yang telah mencecah usia 31 tahun itu apa yang dia harapkan daripada enam pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan adalah mereka boleh membuktikan bahawa skuad negara mempunyai kelompok pemain berkualiti yang ramai dengan mempamerkan kebolehan terbaik mereka.

“Enam pemain yang dipanggil harus menggunakan peluang yang mereka miliki dengan sebaik mungkin selain mereka juga perlu buktikan bahawa mereka mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh enam pemain senior yang tidak menyertai kejohanan ini.

“Ia juga satu platform terbaik untuk mereka mengutip seberapa banyak pengalaman yang boleh kerena mereka akan bertemu dengan pasukan yang berada di ranking pertama serta kedua dunia dan ini masa yang terbaik untuk mereka perlihatkan bahawa skuad hoki lelaki negara mempunyai kelompok pemain berkualiti yang besar,” jelas Razie lagi.

Skuad hoki lelaki negara akan berlepas ke Darwin Australia esok, (Sabtu, 15 September 2018) jam 2.40 petang dan akan turun untuk pertemuan pertama menentang tuan rumah, Austalia pada Selasa, 18 September jam 5.30 petang waktu Malaysia.