Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin: Peluang Buat Enam Pemain Bukti Kemampuan

By September 14, 2018Newsroom

KUALA LUMPUR (14 SEPTEMBER 2018) : Enam pemain yang tidak beraksi di Sukan Asia 2018 baru-baru ini dipanggil oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk melengkapkan senarai 18 pemain yang akan beraksi di Kejohanan Hoki Terbuka Antarabangsa Darwin 2018 yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 September ini di Stadium Hoki Marrara, Australia di mana selain Malaysia kejohanan tersebut akan disertai oleh tuan rumah, Australia, Argentina dan Jepun.Enam pemain yang diberi peluang untuk menggalas tugas di kejohanan tersebut ialah Muhammad Hafizuddin Othman, Muhammad Najib Abu Hassan, Mohamad Ashran Hamsani, Muhamad Ramadan Rosli, Muhammad Haziq Samsul dan Norsyafiq Sumantri.

Selain itu, kejohanan ini juga akan menyaksikan pengendali negara, Stephen van Huizen tidak akan menyertai pasukan kebangsaan kerana telah memohon untuk menyelesaikan masalah kesihatan salah seorang anggota keluarganya yang telah tertangguh sehingga tamat Sukan Asia baru-baru ini.

Tempat Van Huizen akan diambil alih oleh Muhammad Amin Rahim yang diberikan tanggungjawab untuk menggalas tugas selaku Ketua Jurulatih sementara bagi kejohanan tersebut sambil dibantu oleh Mohd Nasihin Nubli Ibrahim serta Pengarah Teknikal, En. Terry Walsh.

Amin ketika ditemui menyahut cabaran yang diberikan oleh KHM sambil menegaskan ia bukan satu tugas yang mudah untuk dirinya tetapi bertekad untuk cuba menjalankan tugas dengan baik sambil mahu memperlajari selok belok kejurulatihan daripada Pengarah Teknikal, Terry Walsh.

Dalam pada itu enam pemain senior tidak akan bersama skuad kebangsaan buat sementara waktu ekoran masalah kecederaan serta diberikan rehat dan akan kembali membantu pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua cabaran yang lebih besar iaitu Trofi Juara-Juara Asia (ACT) pada 18 hingga 29 Oktober di Oman serta Piala Dunia di India yang akan berlangsung pada 28 November hingga 16 Disember.

Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Faizal Saari, Mohd Marhan Mohd Jalil, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Nabil Fiqri Mohd Noor dan S. Kumar akan menyertai pengendali negara, Van Huizen menjalani sesi pemulihan fisioterapi di Kuala Lumpur.

Ketika di minta untuk mengulas mengenai ketiadaan enam pemain tersebut dan peluang enam pemain yang menyertai pasukan ke Darwin, Amin Rahim memandang ia sebagai satu platform terbaik buat enam pemain tersebut membuktikan kemampuan mereka untuk beraksi di kejohanan berprestasi tinggi.

“Enam pemain senior tidak menyertai pasukan kerana ada yang mengalami kecederaan dan juga direhatkan, jadi ini merupakan peluang buat enam pemain yang menggantikan tempat senior ini untuk menyerlah.

“Selepas kejohanan ini skuad negara bakal menghadapi dua kejohanan besar iaitu ACT di Oman dan Piala Dunia di India dan apa yang saya harapkan pemain yang mendapat peluang beraksi di Darwin akan membuktikan keupayaan mereka selain menyakinkan barisan kejurulatihan potensi yang mereka miliki untuk terus beraksi di kejohanan yang berprestasi tinggi,” tambah Amin lagi.

Berikut merupakan senari 18 pemain yang akan ke Darwin:

Muhammad Hairi Bin Abd Rahman
Muhammad Hafizuddin Bin Othman
Muhammad Razie Bin Abd Rahim (Kapten)
Syed Mohamad Syafiq Bin Syed Cholan
Muhammad Azri Bin Hassan
Faiz Helmi Bin Jali
Muhammad Najib Bin Abu Hassan
Meor Muhamad Azuan Bin Hassan
Mohd Fitri Bin Saari
Joel Samuel Van Huizen
Mohamad Ashran Bin Hamsani
Muhammad Amirol Aideed Bin Mohd Arshad
Nik Muhammad Aiman Bin Nik Rozemi
Muhamad Ramadan Bin Rosli
Muhammad Firhan Bin Ashari
Muhammad Shahril Bin Saabah
Muhammad Haziq Bin Samsul
Norsyafiq Bin Sumantri

Jadual perlawanan skuad lelaki peringkat kumpulan.

Selasa 18 Sept 5.30 petang (waktu Malaysia) lawan Australia
Rabu 19 Sept 3.30 petang (waktu Malaysia) lawan Jepun
Jumaat 21 Sept 3.30 petang (waktu Malaysia) lawan Argentina

Perlawanan penentuan kedudukan akhir.

Sabtu 22 Sept 3.30 petang (waktu Malaysia) Penentuan Tempat 3 dan 4
Sabtu 22 Sept 6.00 petang (waktu Malaysia) Penentuan Juara

Berikut merupakan butiran penerbangan pergi dan balik skuad hoki negara.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) – Jetstar Asia

Perlepasan: 15 September 2018 – 2.40 Petang (3k686)
Ketibaan: 23 September 2018 – 2.00 Petang (3k685)