Sukan Asia 2018: Kami Bukan Lagi Pasukan Yang Mudah Untuk Ditewaskan — Dharmaraj

By August 29, 2018Newsroom

Skuad hoki wanita negara mengakhiri kempen Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang di kedudukan kelima terbaik apabila tidak berdepan masalah untuk menewaskan Thailand 2-0 pada aksi yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno, hari ini.Selepas tewas 3-1 kepada Jepun dalam aksi terakhir peringkat kumpulan A, Malaysian Tigress yang berkongsi tujuh mata keseluruhan dengan China terpaksa menerima kenyataan untuk beraksi bagi menentukan kedudukan kelima terbaik ketika impian untuk melakar sejarah mara ke peringkat separuh akhir direntap oleh perbezaan lima jumlah jaringan yang dimiliki oleh China.

Bagi pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah, ia bukan sesuatu yang mudah untuk pemain melupakan kekecewaan tidak melangkah ke separuh akhir hanya kerana perbezaan jaringan memihak kepada China tetapi mereka tetap turun dengan satu semangat untuk mencari kemenangan dan memastikan Malaysia berada di kedudukan kelima.

“Perlawanan terakhir ini apa yang penting untuk pasukan adalah memastikan kami mendapatkan kemenangan dengan mudah dan perkara ini telah kami bincangkan ketika sesi perbincangan sepasukan untuk pastikan kami menamatkan kempen Sukan Asia kali ini di kedudukan kelima.

“Aksi hari ini juga bukan gaya permainan kami yang sebenarnya kerana semangat pemain telah direntap ketika kami tewas kepada Jepun dan hari ini pemain cuba untuk menolak tepi kekecewaan pada aksi lalu sambil berusaha untuk bermain dan mencari kemenangan.

“Secara keseluruhannya saya berasakan yang kami telah berjaya untuk membuktikan bahawa kami kini boleh memberikan persaingan sengit kepada pasukan yang berada di ranking lebih atas.

“Sepanjang kejohanan ini juga pemain telah memberikan segalanya dengan satu persembahan yang cukup membanggakan tetapi hanya kerana perbezaan jaringan, impian untuk ke separuh akhir tidak kesampaian,” jelasnya ketika dihubungi selepas tamat perlawanan.

Malaysia menamatkan saingan kumpulan A di kedudukan ketiga dengan rekod menewaskan Hong Kong 8-0, mengikat China 2-2, membenam Chinese Taipei 11-0 dan tewas 1-3 kepada Jepun. Ketika diminta mengulas mengenai prestasi pemain sepanjang kempen Sukan Asia kali ini, Dharmaraj bangga dengan apa yang telah dipamerkan oleh anak buahnya termasuk melihat mereka kini berjaya mengecilkan jurang perbezaan dengan pasukan yang berada di ranking lebih atas.

“Suka untuk saya imbas kembali ketika kali pertama saya membimbing pasukan pada tahun 2016 dan ketika kami menjalani siri jelajah persahabatan di Jepun dan China, kami diminta untuk beraksi dengan pasukan junior mereka kerana kami dikatakan tidak berada pada tahap yang ditetapkan oleh mereka untuk menjalani sesi persahabatan bersama pasukan utama.

“Kini kami membuat mereka untuk berfikir bahawa Malaysia bukan lagi pasukan yang mudah untuk ditewaskan atau boleh dibelasah dengan jaringan yang besar dan kami berjaya untuk menimbulkan rasa takut dalam diri mereka untuk turun menentang kami.

“Saya juga yakin jurang yang selama ini dilihat antara kami dengan pasukan handalan lain telah berjaya dikecilkan dan pemain terbaik yang pasukan miliki juga telah mampu untuk memberikan saingan hebat kepada pemain terbaik lain di Asia.

“Masa depan pasukan ini sangat cerah kerana kami memiliki ramai pemain muda yang pastinya akan terus meningkat naik menjadi pemain handalan dalam tempoh empat tahun lagi untuk pasukan hoki wanita negara kembali mencabar pasukan lain di Sukan Asia 2022,” tambah Dharmaraj lagi.

Skuad wanita negara akan berangkat pulang ke tanah air pada Sabtu ini (1 September) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang 2 pada jam 2.50 petang.