Sukan Asia 2018: Tidak Ke Separuh Akhir, Malaysian Tigress Masih Menunjukkan Prestasi Terpuji

By August 27, 2018Newsroom

Walaupun impian Malaysian Tigress untuk melangkah ke perlawanan separuh akhir tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada Jepun pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A, Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang berlangsung di Padang Hoki Gelora Bung Karno, tetapi aksi yang telah ditampilkan oleh skuad hoki wanita negara sepanjang kempen peringkat kumpulan wajar diberikan pujian.
Malaysian Tigress menamatkan kempen peringkat kumpulan di kedudukan ketiga selepas mengumpul keseluruhan tujuh mata, menjaringkan 22 gol dan bolos lima sementara kelebihan lima jaringan yang dimiliki China (gol 28, bolos enam) membawa mereka ke separuh akhir mengiringi Jepun walaupun berkongsi tujuh mata bersama skuad negara.

Pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah menyifatkan tekanan yang tinggi ketika turun bertemu Jepun sedikit sebanyak memberikan kesan kepada pemain negara yang memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk ke separuh akhir selain melihat pengalaman yang dimiliki lawan menyekat hasrat skuad wanita untuk ke pentas separuh akhir.

“Saya berasakan kami turun dengan tekanan yang tinggi kerana menyedari kami tidak boleh tewas kepada Jepun sementara Jepun turun tanpa tekanan kerana mereka telah mengesahkan kedudukan di separuh akhir.

“Jepun kalau dilihat memiliki pengalaman lebih daripada kami tetapi tetap saya merasakan kami telah memberikan yang terbaik.

“Ketika kami merapatkan kedudukan 1-2, saya percaya kami mampu untuk mengikat Jepun tetapi ketika kami mendapat pukulan sudut penalti, Raja Norsharina Raja Shabuddin cuba untuk melakukan biasan namun gagal dan ketika Jepun menjaringkan gol ketiga mereka dan meningkatkan tempoh permainan di suku terakhir jelas ia menyekat cubaan kami untuk bangkit,” ujar Dharmaraj.

Malaysian Tigress akan bertemu Thailand yang muncul tempat ketiga di kumpulan B bagi menentukan kedudukan tempat kelima dan keenam dan Dharmaraj melihat semangat dan motivasi pemain perlu dinaikkan semula bagi memastikan mereka turun dengan prestasi terbaik untuk menamatkan kempen Sukan Asia 2018.

“Kekalahan ini jelas amat mengecewakan pemain dan kami barisan jurulatih akan cuba untuk memulihkan kembali semangat pemain untuk kembali mempunyai motivasi yang tinggi ketika turun untuk aksi penentuan tempat kelima dan keenam.

“Kami akan bertemu Thailand untuk perlawanan terakhir kejohanan dan apa yang saya akan tekankan adalah supaya pemainan mereka berada di tahap terbaik dan akan memberikan saingan yang sengit,” jelasnya lagi.

Skuad wanita negara akan turun untuk aksi penentuan tempat 5/6 bertemu Thailand pada 29 Ogos jam 4 petang waktu Malaysia.