Siri Jelajah Australia: Dharmaraj Puas Hati Dengan Peningkatan Pemain

By July 31, 2018Newsroom

Pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah nyata berpuas hati dengan hasil daripada kempen jelajah Australia yang telah diatur baru-baru ini apabila anak-anak buahnya berjaya menamatkan aksi yang berlangsung di Pusat Hoki Brisbane dengan tiga kemenangan dan dua keputusan seri selain peningkatan yang cukup ketara disajikan oleh pemainnya walaupun lawan mereka Queensland Academy of Sports (QAS) tidak menurunkan lima pemain utama mereka kerana beraksi di Hoki Piala Dunia 2018 London.Dharmaraj yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) semalam menyifatkan peningkatan yang telah ditunjukkan oleh pemain-pemainnya adalah yang terbaik sepanjang dua tahun setengah dia bersama skuad wanita dan menganggap ia sebagai tonik terbaik untuk mereka turun dengan lebih yakin pada aksi Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

“Selama dua tahun setengah saya bersama pasukan wanita saya melihat peningkatan yang cukup ketara ditunjukkan oleh pemain pada siri jelajah ini.

“Walaupun kami meraih kemenangan dengan margin jaringan yang kecil tetapi pemain berjaya mencipta banyak peluang terbaik menerusi pukulan sudut penalti dan juga gerakan padang cuma kami tidak melakukan penyudahan dengan sempurna dan penjaga gol lawan juga beraksi dengan cemerlang.

“Untuk aksi di Sukan Asia nanti saya sedar kami akan berhadapan dengan pasukan seperti China, Jepun di mana mereka ini merupakan pasukan yang besar tetapi apa yang saya lihat dalam Piala Dunia Wanita 2018 yang tengah berlangsung banyak pasukan-pasukan kecil yang bukan pilihan mampu mencipta kejutan.

“Melihat kepada situasi itu ia sedikit sebanyak memberikan saya keyakinan dan percaya ada peluang untuk kami memberikan tentangan kepada pasukan yang lebih hebat dan pemain perlu turun dengan semangat yang tinggi.

“Pemain juga perlu percaya bahawa mereka boleh melakukan kejutan dan mampu untuk memberikan aksi yang terbaik selain cuba untuk mencabar kemampuan mereka,” ujar Dharmaraj yang ditemui selepas tiba daripada Brisbane Australia semalam.

Selepas kembali dari siri jelajah, Malaysian Tigress diberikan dua hari untuk berehat dan akan kembali menjalani latihan pada Khamis ini 2 Ogos bagi memastikan pasukan wanita negara bersedia sepenuhnya untuk menyahut cabaran di Sukan Asia 2018 Palembang-Jakarta.

Malaysian diletakkan dalam kumpulan A bersama China, Jepun, Hong Kong China dan Chinese Taipei akan membuka tirai aksi Sukan Asia 2018 pada 19 Ogos bertemu Hong Kong China.