Siri Jelajah Australia: Malaysian Tigress Tutup Kempen Jelajah Dengan Kemenangan

By July 30, 2018Newsroom

Skuad hoki wanita negara yang turun untuk aksi persahabatan kelima hari ini di Pusat Hoki Brisbane bertemu Queensland Academy of Sports (QAS) berjaya menutup siri jelajah yang diatur dengan cemerlang apabila mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas lawan mereka itu.Tiga gol yang terhasil pada perlawanan hari ini adalah hasil jaringan Nuraini Rashid yang meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti dan pukulan stroke selain Raja Norsharina Raja Shabuddin menjaringkan satu gol pukulan sudut penalti dan secara keseluruhan Malaysian Tigress menutup siri jelajah dengan tiga kemenangan dan dua keputusan seri.

Pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah ketika dihubungi menjelaskan ada peningkatan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain dari satu perlawanan ke satu perlawanan walaupun masih terlihat sedikit kelemahan apabila membenarkan lawan untuk bangkit mengejar ketika skuad negara sedang mendahului.

“Kita berada dihadapan 2-0 tetapi membenarkan pasukan lawan untuk bangkit dan mengikat kita dengan kedudukan seri 2-2 ketika di suku terakhir, namun sikap tidak putus asa dan mahu keluar dari corak permainan bertahan menghadiahkan kami dengan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Raja Sharina.

“Bagaimanapun saya melihat peningkatan telah ditunjukkan oleh pemain-pemain dari perlawanan pertama hingga perlawanan terakhir dan saya gembira apabila menamatkan aksi persahabatan ini dengan tiga kemenangan menewaskan juara Liga Australia (Queensland).

“Dua tahun lalu ketika kami menyatakan hasrat untuk beraksi di Liga Australia, kami dinasihatkan untuk menyertai divisyen dua kerana takut dibelasah dan hari ini walaupun Queensland tidak menurunkan lima pemain kebangsaan mereka yang terikat dengan aksi Piala Dunia Wanita 2018 kami mampu untuk menewaskan juara Liga Australia itu.

“Dengan semangat serta pengalaman selain prestasi yang terbaik telah ditunjukkan oleh pemain di siri jelajah ini, ia pastinya akan dijadikan bekalan untuk kami cuba memberikan persembahan sehabis baik ketika di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang nanti,” ujar Dharmaraj.

Untuk rekod, skuad wanita memulakan siri jelajah dengan terikat 1-1, kemudian meneruskan aksi kedua dengan satu lagi keputusan seri 2-2 dan bermula kemenangan 3-1 pada aksi ketiga, Malaysian Tigress terus mengekalkan rentak kemenangan apabila mencatatkan satu lagi keputusan cemerlang 2-1 pada aksi keempat dan menutup siri jelajah dengan jayanya menerusi kemenangan ketiga berturut-turut 3-2.

Skuad wanita akan pulang ke tanah air esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) jam 3.45 petang.