Siri Terbuka Singapura: Malaysian Tigress Sah Ke Perlawanan Akhir

By June 27, 2018Newsroom

Walaupun masih mempunyai baki satu perlawaanan dalam punsingan round robin Kejohanan Hoki Terbuka Singapura 2018 (Wanita), skuad hoki wanita negara telah berjaya memastikan tempat mereka di pentas final selepas menewaskan Thailand 4-0 dalam aksi keempat yang berlangsung hari ini di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura.Kejayaan mencatatkan rekod bersih empat kemenangan dengan mengumpul 12 mata serta telah meledak 40 gol sudah cukup untuk memastikan Malaysian Tigress mengisi slot beraksi di final dan pengendali negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah nyata puas apabila skuad bimbingannya mara ke final ketika masih mempunyai baki satu perlawanan.

Dharmaraj juga turut memuji anak-anak buahnya yang langsung tidak memberikan peluang kepada Thailand untuk melakukan percubaan tepat ke pintu gol negara mahupun menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada mereka walaupun Thailand dilihat memberikan tekanan yang tinggi kepada pemain-pemain negara daripada wisel mula dibunyikan.

“Kami turun beraksi dengan misi mencari kemenangan untuk layak ke final dan saya gembira apabila pasukan kami berjaya untuk beraksi di final.

“Thailand merupakan pasukan yang mempunyai azam cukup besar untuk menewaskan Malaysia dan kebiasaannya mereka akan cuba untuk meningkatkan permainan mereka selain bermain dengan corak bertahan dan dalam masa yang sama akan cuba untuk melakukan serangan balas.

“Tetapi untuk aksi hari ini Thailand dilihat lebih berani untuk memberikan tekanan yang tinggi kepada skuad negara daripada mula perlawanan.

“Bagi saya apa yang penting Thailand tidak berjaya untuk melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang negara serta mereka gagal untuk mendapatkan sebarang pukulan sudut penalti,” jelasnya ketika dihubungi.

Malaysian Tigress membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Fazilla Sylvester Silin dan berselang dua minit kemudian skuad negara yang sekali lagi memperolehi pukulan sudut penalti memanafaatkan kelebihan tersebut dengan ledakan gol menerusi flik Nuraini Abd Rashid.

Gol ketiga negara hadir pada minit ke-43 menerusi jaringan padang Nur Amirah Shakirah Zulkifli dan Hanis Nadia Onn melengkapkan gol kemenangan negara juga menerusi jaringan padang pada minit ke-53.

Esok skuad negara akan berehat sebelum turun untuk aksi pelengkap jadual peringkat round robin bertemu tuan rumah, Singapura jam 6.00 petang.