Siri Terbuka Singapura: Malaysian Tigress Kekal Rekod Tanpa Kalah

By June 27, 2018Newsroom

Kejayaan menewaskan Kazakhstan 8-1 dalam perlawanan ketiga peringkat round robin, pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 (Wanita) yang berlangsung hari ini di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura meletakkan Malaysian Tigress sebagai pendahulu carta dengan mengumpul sembilan mata penuh.Selepas tamat tiga perlawanan, Nuraini Abd Rashid kekal selaku penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan enam gol dan diikuti rapat oleh rakan senegara Nuraslinda Said dengan lima gol juga dua pemain lain dari Thailand.

Malaysian Tigress membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi satu jaringan padang yang cantik daripada Hanis Nadia Onn dan berselang dua minit kemudian, Hanis sekali lagi mencatat nama selaku penjaring apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama gol ketiga Malaysia hadir kali ini menerusi satu lagi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh kapten negara, Siti Noor Amarina Ruhani namun beberapa saat sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan, Kazakhstan berjaya mencuri satu gol juga daripada pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Domashneva Vera.

Bersambung suku ketiga, Nuraslinda Said yang tidak dikawal mudah untuk menguis masuk bola hantaran Nur Zafirah Aziz pada minit ke-39 untuk terus meletakkan kem negara dihadapan 4-1.

Minit ke-40, Malaysia yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti sekali lagi tidak mempersiakan kelebihan tersebut apabila kali ini Nuraini yang melakukan flik terus berjaya menewaskan penjaga gol Kazakhstan, Lipunova Alexandra.

Seminit selepas aksi suku keempat bermula giliran pemain muda negara Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad untuk menambah derita lawan menerusi jaringan keenam negara.

Walaupun sesekali dapat dilihat Kazakstan cuba untuk membolosi pintu gawang negara namun usaha meraka tidak berhasil malah terpaksa berhadapan dengan dua lagi jaringan sebelum tamat masa sebenar perlawanan.

Hanis Nadia muncul penjaring hatrik apabila menjaringkan gol ketiganya untuk pertemuan dengan Kazakhstan pada minit ke-49 dengan melakukan satu pukulan padu mencari sudut bawah kanan pintu gol lawan.

Dua minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat, Surizan Awang Noh melengkapkan jaringan kelapan skuad negara dan sekaligus menutup aksi ketiga dengan kemenangan 8-1.

Esok Malaysian Tigress akan turun untuk aksi keempat bertemu Thailand jam 5.30 petang.