Siri Terbuka Singapura: Malaysian Tigress Kekal Rentak Cemerlang

By June 25, 2018Newsroom

Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 (Wanita) yang berlangsung di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura hari ini menyaksikan skuad hoki wanita negara berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut pada aksi bertemu Hong Kong China selepas menewaskan lawannya itu 10-0.Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah meledak empat gol padang dan enam pukulan sudut penalti pada perlawanan kedua hari ini dan secara keseluruhan selepas dua perlawanan Malaysian Tigress telah menjaringkan 28 gol tanpa bolos.

Malaysian Tigress membuka tirai jaringan pada minit ketujuh menerusi jaringan padang Fatin Shafika Md Shukri dan berselang sepuluh minit kemudian giliran Nur Amirah Shakirah Zulkifli untuk meledak gol kedua juga menerusi jaringan padang.

Nuraini Abd Rashid dan Fazilla Sylvester Silin memastikan skuad negara menutup aksi separuh masa pertama dengan empat gol apabila mereka meledak jaringan menerusi pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-19 dan 22.

Dua minit bersambung suku ketiga giliran Hanis Nadia Onn untuk menjaringkan gol kelima negara sebelum Nuraslinda Said mengubah kedudukan menjadi 6-0 apabila memastikan pukulan sudut penalti yang dimiliki skuad negara disudahkan dengan sempurna pada minit ke-42.

Skuad negara terus menambah empat lagi gol pada suku terakhir bermula dengan jaringan padang Amirah Shakirah pada minit ke-46 diikuti dengan tiga jaringan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nuraini Rashid pada minit ke-48 dan dua jaringan terakhir disumbang oleh kapten negara, Siti Noor Amarina Ruhani pada minit ke-53 dan 57.

Disebalik kejayaan skuad negara meledak 28 gol, jurulatih negara, Dharmaraj Abdullah mempunyai kebimbangan bagaimana anak-anak buahnya dilihat buntu untuk menterjemahkan 29 pukulan sudut penalti daripada 39 jumlah keseluruhan pukulan sudut penalti yang diperolehi dalam dua perlawanan.

Bagaimanapun dia tetap gembira dengan dua kemenangan berturut-turut yang diperolehi Malaysian Tigress namun menuntut pemain untuk lebih tajam ketika aksi bertemu Kazakhstan dan Thailand serta mahu pemain terus berkerja keras untuk memperbaiki pasukan dan mendapatkan keputusan yang lebih baik.

“Kami masih di dalam pertandingan dan selagi kami tidak mencapai matlamat utama kami saya mahu pemain terus mengekalkan fokus mereka dan melepaskan beberapa peluang untuk menghasilkan gol menjadi kebimbangan saya untuk ketika ini kerana selepas dua perlawanan kami mendapat keseluruhan 39 pukulan sudut penalti dan berjaya menyudahkan 10 sahaja.

“Kami perlu beraksi dengan lebih tajam ketika bertemu Kazakhstan serta Thailand dan untuk aksi bertemu Kazakhstan apa yang telah saya perhatikan mereka beraksi dengan baik di bahagian pertahanan selain bergantung kepada serangan balas.

“Mereka juga mempunyai penyerang yang laju dan saya menjangkakan mereka bakal memberikan tentangan yang hebat kepada kami,” ujarnya ketika dihubungi.

Skuad negara akan berehat esok sebelum turun beraksi pada Selasa, 26 Jun 2018 untuk pertemuan ketiga menentang Kazakhstan jam 7.30 malam.