Siri Terbuka Singapura: Malaysian Tigress Belasah Indonesia 18-0

By June 24, 2018Newsroom

Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah berjaya memastikan kempen pusingan pertama Kejohanan Hoki Siri Terbuka Singapura 2018 (Wanita) yang berlangsung di Pusat Sukan Seng Kang, Singapura petang tadi dibuka dengan cemerlang apabila tidak berdepan masalah untuk membelasah Indonesia 18-0.Bagaimanapun Dharmaraj tidak mahu anak-anak buahnya dibuai dengan kejayaan yang dikecapi hari ini kerana esok mereka akan turun beraksi sekali lagi kali ini bertemu Hong Kong China dan mahu pemain mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan sambil mahu mereka kekal fokus untuk meneruskan rentak kejayaan.

“Hari ini kami berjaya untuk menggunakan setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol dan kami memperolehi keputusan yang kami mahukan.

“Bagaimanapun saya tidak mahu pemain ambil mudah aksi-aksi yang akan datang ekoran kejayaan yang telah diperolehi hari ini dan saya mahu pemain kekal fokus untuk bertemu Hong Kong China, esok.

“Saya juga mahu pemain lupakan kejayaan hari ini dan memandang satu perlawanan demi satu perlawanan untuk dilunaskan dengan sebaik yang mungkin,” ujar Dharmaraj ketika dihubungi.

Malaysian Tigress membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi jaringan padang Wan Norfaiezah Md Saiuti dan Wan Norfaiezah menggandakan jaringan pada minit keempat sebelum Nuraini Abd Rashid dan Fazilla Sylvester Silin memastikan suku pertama Malaysia selesa dihadapan dengan empat gol.

Skuad wanita negara terus menambah lapan lagi jaringan pada suku kedua bermula dengan gol Nur Amirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-17 diikuti dua jaringan berturut-turut Nuraslinda Said (m’19 dan m’20) sementara Nuraini terus menjaringkan gol keduanya pada minit ke-22 sebelum Wan Norfaiezah meledah hatrik pada minit ke-23 dan kemudian giliran Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad, Nurul Syafiqa Mat Isa serta Nur Zafirah Aziz mencatat nama sekalu penjaring masing-masing pada minit ke-24 dan 26.

Bersambung suku ketiga Malaysian Tigress langsung tidak memperlahankan rentak serangan mereka apabila meledak empat lagi jaringan. Pada mintit ke-35 giliran Nuraini untuk mencatat hatrik dan Nur Amirah menjaringkan gol ke 14 negara pada minit ke-38.

Seorang lagi pemain negara, Nuraslinda turut berjaya mencatat hatrik pada pada aksi pembukaan menerusi jaringan pada minit ke-41 dan Surizan Awang Noh menutup aksi suku ketiga dengan jaringan ke 16 negara pada minit ke-42.

Memasuki suku terakhir skuad negara menjaringkan dua lagi gol untuk melengkapkan 18 jaringan Malaysian Tigress pada aksi pertama menerusi Zafirah Aziz pada minit ke-49 dan beberapa saat sebelum wisel dibunyikan Surizan melengkapkan jaringan kemenangan Malaysia.

Esok skuad negara akan turun beraksi untuk perlawanan kedua bertemu Hong Kong China pada jam 3 petang.